KENINGAU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan belia melalui sukan dengan menyalurkan dua bentuk sumbangan kepada golongan muda di daerah ini.

Sumbangan pertama berupa dana khas diberikan bagi menyokong penganjuran Kejohanan Bola Jaring Terbuka Keningau anjuran Majlis Perwakilan Pelajar SMK Keningau II.

Penyerahan dilakukan di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan oleh Pemaju Mukim Lingkudau, Puan Noritah Melvina Dungkian, yang mewakili Annuar.

Kejohanan itu, yang akan berlangsung pada 6 September 2025 di Dewan Super Cemerlang SMK Keningau II, bakal menghimpunkan pelajar dan belia dari pelbagai sekolah serta komuniti sekitar Keningau.

Menurut pihak penganjur, sokongan berterusan daripada kepimpinan Liawan membuktikan keprihatinan terhadap usaha pelajar menganjurkan aktiviti berimpak positif di peringkat akar umbi.

Dalam inisiatif berasingan, pasukan belia Kampung Tuarid, Liawan menerima sumbangan set jersi bola sepak yang disampaikan oleh Ketua Wiramuda Liawan, Michael Tambi, bersama timbalannya, Richard Adin.

Langkah ini bertujuan memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan menggalakkan penglibatan aktif belia dalam aktiviti sihat serta bermanfaat untuk komuniti.

Annuar dalam perutusannya berkata, kedua-dua sumbangan ini mencerminkan iltizam beliau untuk memastikan generasi muda tidak diketepikan, malah terus diberi ruang mengembangkan potensi diri.

Beliau yakin sukan mampu menjadi medium terbaik mencungkil bakat baharu, membentuk disiplin diri dan memperkukuh perpaduan.

“Belia adalah aset masa depan, dan usaha memperkasa mereka akan terus menjadi keutamaan kepimpinan Liawan melalui pendekatan berasaskan tindakan, bukan sekadar janji,” tegasnya.-pr/BNN