TAWAU: Bendahari Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Apas, Datuk Najib Tay Abdullah, dilantik sebagai Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau (The Federation of Chinese Associations Tawau, TCA).
Watikah pelantikan diserahkan oleh Presiden TCA, Henery Wong Chen Khiong, mewakili seluruh ahli jawatankuasa dalam satu majlis ringkas, baru-baru ini.
Menurut Wong, pelantikan itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar dan sokongan berterusan Najib kepada pelbagai program serta aktiviti TCA, selain peranannya dalam kerja kebajikan masyarakat.
Najib yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Santun Kasih Sabah (PERSANTUN) menyifatkan pelantikan itu bukan sekadar penghormatan, malah satu amanah besar untuk digalas.
“TCA bukan sekadar persatuan biasa. Ia adalah benteng semangat masyarakat Cina Tawau, diasaskan atas pengorbanan dan usaha gigih generasi terdahulu. TCA menjadi keluarga besar yang menyatukan pelbagai pertubuhan Cina di Tawau, sekaligus platform utama memelihara warisan dan perpaduan,” katanya.
Beliau berikrar menggunakan kedudukannya sebagai Presiden Kehormat untuk menjadi jambatan penghubung antara kerajaan dan masyarakat, sekali gus membantu memperkukuh peranan TCA.
“Saya sedia menyampaikan suara masyarakat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dan kepada Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, bagi memastikan bantuan lebih langsung dan berkesan dapat disalurkan,” jelasnya.
Sementara itu, Majlis Angkat Sumpah Ahli Jawatankuasa TCA bagi penggal 2025-2027 akan berlangsung pada 13 Ogos di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hing Hwa, Tawau, dengan Ketua Menteri sebagai tetamu kehormat.-pr/BNN