KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mengecam cubaan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Persekutuan, Nga Kor Ming, yang didakwa berusaha memaksa Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar (URA) diluluskan di Parlimen, sebelum akhirnya tewas apabila rang undang-undang itu ditangguhkan ke sidang berikutnya.
Ahli Majlis Tertinggi SAPP merangkap Naib Ketua Pemuda, Yong Yit Jee, menyifatkan kegagalan berkenaan sebagai kekalahan memalukan kepada kerajaan Madani dan DAP yang menurutnya cuba bertindak angkuh dengan mengenepikan suara rakyat.
“Nga Kor Ming cuba paksa URA diluluskan di Parlimen, tetapi akhirnya dia sendiri yang terguling. Ini tamparan hebat kepada DAP dan kerajaan Madani,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, bantahan besar-besaran yang timbul membuktikan rakyat tidak bersetuju dengan cubaan kerajaan pusat membawa URA, malah penolakan itu berlaku di Semenanjung sendiri sebelum sampai ke Sabah.
“Apabila rakyat Semenanjung sendiri menolak URA, bagaimana rakyat Sabah boleh mempercayai DAP untuk mempertahankan rumah dan hak kita?” katanya.
Yong turut membangkitkan kenyataan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, yang mengulangi penegasan bahawa URA tidak terpakai di Sabah dan Sarawak kerana bidang kuasa perumahan, tanah dan kerajaan tempatan dilindungi oleh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perkara 95E Perlembagaan Persekutuan.
Namun, katanya, kenyataan itu sendiri menjadi pengakuan betapa kontroversi dan berbahayanya rang undang-undang berkenaan.
“Jika Kuala Lumpur mengarahkan URA diperluas ke Sabah, wakil rakyat DAP di sini tidak akan mampu melawan. Ketundukan mereka tetap kepada ketua mereka di peringkat pusat, bukan kepada rakyat Sabah,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak lupa bagaimana wakil rakyat DAP dan sekutunya sebelum ini menarik balik tindakan undang-undang berhubung tuntutan 40 peratus hasil cukai terhadap kerajaan Persekutuan selepas parti itu kembali memegang kuasa di Putrajaya.
“Bila Kuala Lumpur bersuara, mereka tunduk. Inilah bukti jelas mengapa Sabah mesti memberi sokongan kepada parti tempatan untuk melindungi autonomi negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Yong menegaskan pilihan raya negeri akan datang menjadi medan penting bagi rakyat Sabah menentukan masa depan autonomi mereka.
“Ini bukan hanya soal satu rang undang-undang, tetapi soal kelangsungan jaminan perlembagaan Sabah. Jika kuasa pusat dibenarkan melampaui batas di Semenanjung hari ini, tidak mustahil esok ia akan dipaksa ke atas Sabah.
“Sebab itu rakyat Sabah mesti jelas dalam pilihan raya negeri akan datang – pilih parti tempatan seperti SAPP yang hanya bertanggungjawab kepada rakyat Sabah, bukan parti Malaya yang sanggup menjual autonomi negeri,” katanya.-pr/BNN





