KOTA KINABALU: Kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah mengetepikan masyarakat Cina Sabah, ini terbukti apabila Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memutuskan untuk memperuntukkan 50 peratus daripada enam slot ADUN dilantik kepada kaum tersebut.
Tiga ADUN dilantik daripada masyarakat Cina Sabah adalah Datuk Ir Chin Su Ying, Datuk Roger Chin dan Grace Li.
Timbalan Ketua PGRS Kiulu Datuk George Teo berkata hanya seorang daripada sembilan calon mewakili kaum Cina menang dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-17 baru-baru ini iaitu Datuk Ben Chong, calon GRS di DUN Tanjung Kapor, Kudat.
“Datuk Ben Chong juga telah dilantik sebagai Pembantu Menteri kewangan. Ini membuktikan Hajiji tidak pernah mengetepikan peranan masyarakat Cina di Sabah.
“Kerajaan sekarang telah mempunyai wakil dari kaum Cina yang cukup kuat,” katanya.
Datuk George Teo menyeru masyarakat Cina di Sabah agar terus menyokong dan bekerjasama dalam usaha-usaha Kerajaan Negeri melaksanakan pelan pembangunan yang telah dirancang dalam Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dalam tempoh lima tahun akan datang ini.-pr/BNN





