KENINGAU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles menyambut baik pembentangan Bajet Sabah 2026 yang disifatkan mencerminkan pendekatan berhemah, berdisiplin serta jelas mengutamakan kepentingan rakyat.

Beliau berkata, pembentangan bajet oleh Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Timbalan Ketua Menteri II, menunjukkan keupayaan kerajaan negeri mengekalkan kestabilan kewangan dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

“Dengan anggaran Perbelanjaan Perbekalan berjumlah RM6.402 bilion dan Anggaran Hasil sebanyak RM6.430 bilion, kerajaan negeri berjaya mencatat Belanjawan Lebihan (surplus) sebanyak RM28 juta. Ini satu pencapaian signifikan yang wajar dipuji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yazid berkata, walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding Bajet 2025, kejayaan mengekalkan lebihan membuktikan pengurusan fiskal yang cermat serta kecekapan pentadbiran kewangan Kerajaan GRS–Perpaduan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Menurutnya,

Bajet Sabah 2026 juga dilihat realistik kerana berpaksikan kepada keupayaan hasil sebenar negeri, sekali gus memberi ruang kepada kesinambungan pembangunan, kebajikan rakyat serta kestabilan ekonomi Sabah.

“Pendekatan ini amat wajar kerana ia mengutamakan kelestarian kewangan jangka panjang berbanding perbelanjaan berlebihan yang boleh menjejaskan kedudukan fiskal negeri pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menegaskan, secara keseluruhannya Bajet Sabah 2026 merupakan manifestasi komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kemakmuran Sabah dapat dikongsi bersama rakyat, di samping menjamin tadbir urus kewangan yang bertanggungjawab dan berintegriti.-pr/BNN