KINABATANGAN: Proses mengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, Sabah berlangsung dengan lancar hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa proses pengundian bermula pada jam 8.00 pagi di satu-satunya pusat mengundi awal yang dibuka, iaitu di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan, sebelum ditutup pada jam 5.00 petang.

Seramai 189 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) layak mengundi sebagai pengundi awal bagi kedua-dua PRK berkenaan. Daripada jumlah tersebut, seramai 176 orang atau bersamaan 93 peratus telah menunaikan tanggungjawab masing-masing.

SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya serta seluruh pasukan petugas yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan amat baik sepanjang proses pengundian awal berlangsung.

Selain itu, penghargaan dan terima kasih turut dizahirkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Polis Diraja Malaysia, petugas media serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas kerjasama dan sokongan yang diberikan.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Datuk Khairul Shahril Idrus, hari ini.-BNN