KENINGAU:  Lebih 1,000 pengunjung pelbagai kaum menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri  Famili YCFSYY di Kampung Padang Bingkor, di sini, hari ini, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh dalam komuniti setempat.

Majlis yang berlangsung di kediaman Puan Nur Syafawatiba Yazid @ Charles bersama Adly itu menerima kunjungan berterusan dari tengah hari hingga petang, dengan kehadiran tetamu dari dalam dan luar daerah Keningau.

Sebagai acara tahunan, rumah terbuka berkenaan terus menjadi platform mengeratkan silaturahim tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, selain mencerminkan nilai keterbukaan serta keikhlasan keluarga penganjur.

Seorang tetamu berkata, suasana mesra dan santai menjadikan majlis itu terasa istimewa.

“Walaupun ramai, suasananya sangat dekat dan harmoni. Semua yang hadir seperti satu keluarga,” katanya.

Pelbagai hidangan tradisional turut disajikan, antaranya rendang, ayam golek, satay, soto serta kuih-muih tempatan, menambah kemeriahan sambutan.

Sementara itu, wakil keluarga, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata kehadiran luar biasa itu amat bermakna dan di luar jangkaan.

“Setiap tahun kami membuka pintu kepada semua. Kehadiran ini bukan sekadar memeriahkan majlis, tetapi mengukuhkan hubungan sesama masyarakat,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada semua tetamu.

Majlis berkenaan sekali lagi membuktikan bahawa sambutan Aidilfitri mampu menjadi wadah menyatukan masyarakat dalam suasana harmoni dan penuh muhibah.-pr/BNN