BEIJING: Kira-kira 100 rakyat Malaysia di perantauan memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China, di sini, baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung di Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia itu dihoskan Tuan Yang Terutama (TYT) Dato’ Norman Muhamad dalam suasana sederhana namun penuh bermakna, selaras dengan saranan kerajaan agar penganjuran acara rasmi mengutamakan penjimatan.

Hadirin terdiri daripada warga Kedutaan Besar Malaysia bersama keluarga, pegawai Bank Negara Malaysia di Beijing serta rakyat Malaysia yang bertugas di Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB).

Sambutan dimulakan dengan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah sebelum diteruskan dengan jamuan yang menyajikan pelbagai hidangan tradisional.

Kemeriahan turut diserikan dengan tradisi pemberian duit raya serta sesi bergambar, selain penyediaan juadah secara gotong-royong oleh warga kedutaan bersama ahli Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) Beijing.

Walaupun diadakan secara sederhana, majlis itu tetap berlangsung meriah dan penuh keakraban, mencerminkan semangat perpaduan serta kekeluargaan dalam kalangan rakyat Malaysia walau berada jauh dari tanah air.-pr/BNN