KOTA KINABALU: Politeknik Kota Kinabalu (PKK) hari ini terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi peneraju dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pelancaran program profesional bertaraf antarabangsa serta pengiktirafan produk inovasi berteknologi tinggi.
Majlis bersejarah tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah(Governan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Abdul Razak Sabtu.
Pelancaran Program Certified Healthcare Facility Manager (CHFM) merupakan satu inisiatifM strategik hasil kolaborasi erat bersama rakan industri, Sedafiat Sdn. Bhd.
Melalui kerjasama ini, PKK melakar sejarah sebagai Politeknik Malaysia pertama dan Institusi Pendidikan Tinggi ketiga menawarkan program sijil profesional bertaraf antarabangsa tersebut.
Program ini disertai oleh 35 orang peserta, yang terdiri daripada 20 kakitangan Sedafiat Sdn. Bhd. dan 15 kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
Program ini telah mendapat kelulusan daripada International Advisory Council for Healthcare Facility Management (IACHFM) bagi melahirkan pengurus fasiliti kesihatan yang kompeten serta bertaraf global.
Dalam majlis yang sama, PKK turut meraikan kejayaan pasukan penyelidik yang diketuai oleh Ts. Dr. Hasmawi Khalid menerusi penyerahan Sijil Tamat Geran Penyelidikan T-AIGS 2025 bagi produk inovasi Woodworking Adjustable Smart Stand (WASS).
Produk inovasi ini telah membuktikan kecemerlangannya apabila merangkul Anugerah Emas di peringkat antarabangsa pada International Borneo Innovation Exhibition & Conference (IBIEC 2024) serta mendapat pengiktirafan 1 bintang Centre of Technology pada Ogos 2025 yang lalu.
Inovasi WASS menonjol dengan integrasi sistem Internet of Things (IoT) yang bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan produktiviti dalam kerja-kerja pertukangan kayu.
Keberkesanan produk ini telah pun dibuktikan melalui kolaborasi strategik bersama RTM Sabah dalam pembinaan set studio televisyen, selain berjaya didaftarkan paten secara rasmi melalui MyIPO bagi melindungi hak intelek inovasi berkenaan.
Ts. Abdul Razak Sabtu dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa kejayaan pelancaran program CHFM dan inovasi WASS ini mencerminkan hala tuju kementerian untuk memperkasa TVET berimpak tinggi. Beliau turut menekankan bahawa kerjasama erat antara institusi pendidikan dan industri merupakan kunci utama dalam memastikan ekosistem TVET negara kekal relevan serta mampu berdaya saing di peringkat global.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn. Bhd., Datuk Hj. Ag. Buhtaman Ag. Mahmun, Presiden IACHFM, Ir. Ts. Huszian Hussin, Wakil Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Adam Lamau, barisan pengurusan tertinggi JPPKK, serta wakil-wakil industri dan rakan strategik yang lain.-pr/BNN





