KENINGAU: Sebanyak tujuh pasukan sekolah rendah memeriahkan Kejohanan Bola Jaring Bawah 12 Tahun Peringkat Zon Apin-Apin 2026 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Datuk Angian Andulag, Pekan Apin-Apin, kelmarin.
Kejohanan itu dirasmikan Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Dato’ Sri Mohd Ishak Ayub, yang diwakili Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Bingkor UPPM Bingkor, Janerowery Januarius Bundoi.
Dalam ucapan beliau yang dibacakan wakilnya, Mohd Ishak berkata penganjuran kejohanan seumpama itu penting dalam meningkatkan motivasi, keyakinan diri dan semangat berpasukan dalam kalangan murid.
Katanya, pelajar masa kini bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, malah perlu memiliki daya tahan, kepimpinan serta keterampilan menerusi penglibatan aktif dalam kokurikulum.
“Melalui kejohanan seperti ini, kita dapat mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat daerah, negeri dan kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata, kejohanan itu bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya platform pembangunan bakat sukan akar umbi serta pembentukan sahsiah murid.
Katanya, semua pihak perlu terus memberi sokongan agar lebih ramai atlet muda dari Zon Apin-Apin mampu melakar kejayaan pada masa depan.-pr/BNN





