KOTA KINABALU: Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera melaksanakan pelan tindakan menyeluruh dan berkesan bagi menangani isu kekurangan doktor di Sabah yang disifatkan semakin serius serta telah lama berlarutan.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, mengenai jurang besar jumlah doktor di negeri ini membuktikan masalah berkenaan tidak lagi boleh dipandang ringan.

Menurutnya, situasi semasa yang menunjukkan jumlah doktor jauh daripada keperluan sebenar bukan sahaja memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan negeri, malah turut menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Isu ini amat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera serta bersepadu daripada semua pihak berkepentingan khususnya KKM.

“Kekurangan tenaga doktor akan menyebabkan beban kerja meningkat, tempoh menunggu rawatan menjadi lebih lama dan akses kepada perkhidmatan kesihatan semakin terbatas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan bahawa hanya 2,884 doktor kini berkhidmat di Sabah berbanding keperluan sebenar yang dianggarkan mencecah sekitar 9,000 orang.

Yazid berkata, kerajaan khususnya Kerajaan Persekutuan melalui KKM perlu merangka dan melaksanakan pelan tindakan lebih komprehensif bagi menambah jumlah tenaga kerja doktor khususnya di hospital-hospital dan klinik-klinik kerajaan di Sabah.

Katanya, langkah strategik yang perlu diberi keutamaan termasuk penambahan kuota penempatan doktor, pemberian insentif khas kepada doktor yang berkhidmat di Sabah serta penambahbaikan kemudahan kesihatan di seluruh negeri.

“Langkah ini perlu dipercepatkan supaya rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap dan berkualiti.

“Kerajaan juga perlu memberi perhatian serius terhadap faktor kebajikan dan persekitaran kerja doktor agar mereka terus kekal berkhidmat di negeri ini, termasuk anak-anak Sabah yang berkhidmat sebagai doktor, khususnya di kawasan yang berdepan kekangan kemudahan asas,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh sistem kesihatan negeri adalah selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menekankan kesejahteraan rakyat sebagai teras pembangunan.

“Rakyat Sabah berhak mendapat akses kesihatan yang berkualiti dan setara seperti dinikmati di negeri lain.

“Justeru, tindakan segera dan komitmen berterusan amat diperlukan bagi memastikan isu ini tidak terus berlarutan serta dapat diselesaikan secara tuntas,” katanya.

Menurutnya, isu kenaikan pangkat atau grad pegawai perubatan yang sedang berkhidmat di hospital-hospital kerajaan negeri ini juga perlu permudahkan, bagi menarik mereka untuk kekal dan tidak meninggalkan perkhidmatan apabila mendapat tawaran menarik di hospital dan klinik swasta.

“Amalan sekarang yang mewajibkan mereka mendaftar untuk menghadiri temuduga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia menyebabkan ramai pegawai perubatan meninggalkan perkhidmatan apabila mendapat tawaran daripada pihak swasta”, tegasnya -pr/BNN