KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bersama isteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag menghadiri “Royal Mess Night” sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Selasa.
Hajiji dan isteri tiba kira-kira jam 7. 45 malam disusuli keberangkatan tiba TYT Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman bersama Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah Haji Tussin.
Sebaik keberangkatan tiba, Tuan Yang Terutama bersama Toh Puan diiringi ke sesi bergambar rasmi, diikuti perarakan masuk ke meja utama dengan diiringi “Sword- bearer” dan “Bagpipes”, nyanyian lagu Negaraku serta Sabah Tanah Airku.
Turut mencuri tumpuan ialah perarakan Panji-Panji Polis Diraja Malaysia ke dalam dewan sebelum berlangsungnya acara tradisi toast atau minum ucap selamat sebagai simbol taat setia dan penghormatan.
Antara acara utama ialah Toast 1 bagi minum ucap selamat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, diikuti Toast 2 kepada Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri serta Toast 3 kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan negara.
Pengisian lain majlis ini ialah upacara memotong kek, penyampaian cenderahati dan persembahan hiburan diiringi oleh Kombo PDRM/ATM.-pr/BNN





