SANDAKAN: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama agensi-agensi di bawahnya telah menggerakkan misi bantuan bagi mangsa yang terkesan akibat kebakaran di Perkampungan Atas Air Kampung Bahagia, Sandakan baru-baru ini.

Ini termasuk pelan pemulihan perniagaan seperti moratorium pembiayaan dan penstrukturan semula kemudahan kewangan yang disediakan melalui agensi-agensi KUSKOP bagi menyokong usahawan dan anggota koperasi yang terjejas.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong, mengumumkan pakej sokongan khas melalui TEKUN Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membantu usahawan yang mempunyai pembiayaan di bawah institusi-institusi ini, sekali gus meringankan beban mangsa yang berdepan kemusnahan premis, inventori serta kehilangan tempat tinggal.

Antaranya, TEKUN Nasional menawarkan moratorium sehingga enam bulan, penjadualan semula pembiayaan, serta kebenaran pengeluaran simpanan akaun TEKUN.

Selain itu, pembiayaan bertindih (overlapping) turut disediakan sebagai suntikan modal tambahan bagi membantu usahawan memulakan semula perniagaan mereka.

Bank Rakyat pula menyediakan bantuan khas moratorium ansuran bulanan sehingga enam bulan bagi pelbagai produk pembiayaan termasuk perumahan, kenderaan, dan peribadi.

Kemudahan ini terbuka kepada pelanggan individu dan perniagaan yang layak, termasuk mereka yang pernah menerima bantuan serupa sebelum ini.

Sementara itu, AIM menyediakan penangguhan bayaran balik pinjaman selama enam bulan.

Melalui Tabung Kesejahteraan dan Manfaat Sahabat (TKKS), usahawan AIM yang mengalami perniagaan musnah akan menerima bantuan tunai sehingga maksimum RM5,000.00 dan usahawan yang menerima rawatan di hospital akan menerima bantuan sebanyak RM50.00 sehari.

YB Steven Sim berkata inisiatif ini kritikal bagi memastikan kelangsungan perniagaan usahawan, terutamanya dalam mendepani cabaran krisis bekalan global yang kini memberikan tekanan tambahan kepada kos operasi dan ketersediaan stok inventori.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ukk@kuskop.gov.myKUSKOP menyarankan agar usahawan dan koperasi yang terjejas segera menghubungi pejabat cawangan agensi berhampiran bagi urusan dokumentasi supaya bantuan dapat disalurkan dengan kadar segera.

Sementara itu, Timbalan Menteri KUSKOP, YB Datuk Mohamad bin Alamin, telah turun padang melawat dan menyerahkan 400 bakul makanan dan barangan keperluan asas kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) PPR Batu Sapi dan SK Kampung Gas, hari ini.

Turut menyertai dalam lawatan tersebut ialah Setiausaha Politik kepada Menteri KUSKOP, YB Encik Kelvin Yii Lee Wuen, serta Ketua Setiausaha KUSKOP, YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee bin Daud.

Selain bantuan asas, sepuluh agensi di bawah KUSKOP turut menyalurkan pelbagai bentuk bantuan tambahan termasuk barangan persekolahan, bantuan tunai, pakaian, bantuan zakat melalui agensi berkaitan, serta bantuan kewangan kepada pelajar yang terjejas.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bertindak sebagai agensi utama yang menyelaras misi tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini.-pr/BNN