KOTA KINABALU: Keputusan Kerajaan Negeri menangguhkan dasar dan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Sabah disifatkan sebagai langkah tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam mempertahankan autonomi serta kedaulatan negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah, berkata tindakan itu sekali gus menyangkal tohmahan pembangkang, khususnya Parti Warisan, yang sebelum ini mendakwa Hajiji bersikap “lembik” dan sentiasa “tunduk” kepada kehendak Putrajaya.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu itu membuktikan rakyat Sabah perlu sentiasa peka terhadap sebarang perincian yang boleh menyentuh hak serta kedaulatan negeri.

“Sebelum ini, ramai pihak melihat Akta 860 sekadar usaha teknikal Putrajaya untuk menyatukan agensi keselamatan di pintu masuk negara. Namun, perkembangan terbaharu membuktikan bahawa mata kita mesti sentiasa peka melihat sebarang perincian yang boleh menyentuh kedaulatan negeri.

“Keputusan Hajiji bersama Jemaah Menteri untuk menangguhkan dasar dan pelaksanaan AKPS di Sabah adalah satu tindakan berani,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan Ketua Menteri itu membuktikan beliau seorang pemimpin Sabah sejati yang memahami masa sesuai untuk mempertahankan hak negeri.

“Tindakan nyata ini membuktikan watak beliau sebagai seorang pemimpin Sabah sejati yang tahu bila masanya untuk mengunci perimeter hak negeri. Respon tegas ini tidak terbit dalam sekelip mata, melainkan bukti nyata bahawa Hajiji adalah seorang pemimpin patriotik yang sentiasa mendengar rintihan jentera di bawah,” katanya.

Aksyah berkata, Hajiji juga sebelum ini telah mengadakan dua pertemuan rasmi bersama kepimpinan Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) pada 27 April dan 3 Mei lalu bagi mendengar sendiri kegusaran pegawai imigresen berkaitan kelompongan dalam akta baharu itu.

Katanya, langkah itu menunjukkan gaya kepimpinan yang berhemah dan berasaskan realiti di lapangan, berbeza dengan pembangkang yang hanya memainkan isu demi publisiti politik.

Beliau menegaskan bahawa hak autonomi imigresen Sabah di bawah MA63 adalah “benteng besi” kedaulatan negeri dan perkara yang tidak boleh dirunding.

“Ia bukan pemberian politik yang boleh ditawar-tawar dan bukan ehsan persekutuan yang boleh diubah suai mengikut kesesuaian operasi agensi baharu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya Sabah tidak mengulangi kesilapan lampau yang menyebabkan kawalan sempadan menjadi longgar sehingga menimbulkan bebanan demografi dan sosial kepada negeri.

“Sejarah lama era 1970-an sudah cukup mengajar kita betapa peritnya apabila kawalan sempadan kita menjadi longgar akibat kelemahan masa lalu. Jangan sesekali biarkan kesilapan sejarah itu berulang melalui kaedah birokrasi persekutuan yang baharu,” katanya.

Aksyah berkata, usaha penyelarasan keselamatan bagi mengekang penyeludupan dan jenayah rentas sempadan sememangnya dialu-alukan, namun ia tidak bermakna Sabah perlu menyerahkan kuasa menentukan kawalan pintu masuk negeri kepada pihak lain.

Beliau berkata, slogan “Rumah Kita, Kita Jaga” yang dibawa GRS hari ini diterjemahkan melalui tindakan nyata Ketua Menteri dalam memastikan perlindungan perlembagaan Sabah sentiasa terpelihara.

“Sebagai rakyat Sabah, wajarlah kita bersolidariti dan berdiri teguh di belakang DSP Hajiji dalam menuntut persetujuan bertulis yang jelas daripada Putrajaya bahawa tidak akan ada satu inci pun hak keistimewaan Sabah yang bakal terhakis,” katanya.

Beliau menegaskan sempadan Sabah adalah maruah negeri dan hak menentukan kedaulatan itu mesti kekal di tangan anak watan Sabah sendiri.-pr/BNN