KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim atas pengumuman kenaikan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion, sementara pelaksanaan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan kepada negeri ini dimuktamadkan.
Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, pengumuman bersejarah itu membuktikan kesungguhan serta komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diberi perhatian dan dilaksanakan secara berperingkat serta bertanggungjawab.
Menurut beliau, masyarakat peladang, penternak dan nelayan di seluruh Sabah menyambut baik keputusan tersebut kerana ia memberi keyakinan bahawa kerajaan Persekutuan sentiasa mendengar aspirasi rakyat Sabah dan komited memperkukuhkan kedudukan fiskal negeri demi kesejahteraan rakyat.
“Mewakili komuniti peladang, penternak dan nelayan, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan dan keberanian membuat keputusan yang memberi manfaat besar kepada Sabah.
“Pengumuman ini bukan sahaja mencerminkan komitmen kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan MA63, malah membuktikan bahawa pembangunan Sabah terus menjadi agenda penting dalam kerangka Malaysia MADANI,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Nazri berkata, tambahan dana berkenaan dijangka membantu kerajaan negeri memperkukuh pelaksanaan pelbagai program pembangunan yang memberi kesan langsung kepada rakyat, khususnya dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan, infrastruktur luar bandar, bekalan air, jalan raya dan kemudahan asas lain.
Beliau berkata, sektor agromakanan merupakan antara pemacu utama ekonomi Sabah yang memerlukan sokongan berterusan bagi meningkatkan pengeluaran makanan, memperkasa usahawan tani, menjamin keselamatan makanan serta meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar.
“Kami berharap peruntukan tambahan yang diterima oleh Sabah akan membuka lebih banyak ruang kepada pembangunan sektor pertanian dan agromakanan, termasuk peningkatan kemudahan pengairan, infrastruktur pertanian, bantuan teknologi moden, latihan serta program peningkatan produktiviti kepada peladang, penternak dan nelayan.
“Langkah ini amat penting bagi memastikan sektor agromakanan negeri terus berkembang dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta jaminan bekalan makanan negara,” katanya.
Mohd Nazri turut menyifatkan kenyataan Perdana Menteri bahawa pelaksanaan hak 40 peratus kepada Sabah merupakan dasar yang mesti dilaksanakan sebagai satu jaminan penting yang memberikan keyakinan kepada rakyat negeri ini.
Beliau berkata, masyarakat peladang, penternak dan nelayan Sabah akan terus menyokong usaha kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam memperkukuh kerjasama strategik demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, inklusif dan mampan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
“Pengumuman ini memberi mesej jelas bahawa Sabah terus mendapat perhatian sewajarnya dalam agenda pembangunan negara. Kami berharap rundingan mengenai pelaksanaan penuh hak 40 peratus dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat demi manfaat jangka panjang rakyat dan negeri Sabah,” katanya.-pr/BNN





