TUARAN: Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri meneruskan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM339.16 juta sebagai antara instrumen utama dalam agenda pembasmian kemiskinan negeri.
Beliau berkata skim bantuan SYUKUR telah distruktur semula tahun ini dengan pemberian RM200 sebulan sebagai bantuan pelengkap kepada inisiatif Kerajaan Persekutuan iaitu Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta program bantuan kewangan lain yang tersedia.
“Penstrukturan semula program SYUKUR membolehkan jumlah penerima ditingkatkan daripada 100,000 orang tahun lalu kepada 140,000 orang tahun ini, sekali gus memastikan lebih ramai rakyat Sabah mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan ini,” katanya ketika melancarkan Program Outreach Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) bagi daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, pembayaran SYUKUR dibuat secara berfasa, dengan setiap fasa dibayar secara sekali gus bagi tempoh tiga bulan berjumlah RM600 dan dikreditkan ke akaun bank penerima, manakala pembayaran tunai turut disediakan kepada penerima yang layak.
Pada dasarnya, pembayaran SYUKUR telah bermula pada 11 Mac 2026 bagi penerima Fasa 1, manakala pembayaran dalam talian Fasa 2 mula dikreditkan ke akaun penerima pada 23 Mei 2026.
“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa agihan tunai pertama bagi SYUKUR Fasa 2 akan bermula dari 18 Jun 2026 (Khamis) hingga 23 Jun 2026 (Selasa) kepada penerima yang layak di seluruh Sabah, melibatkan seramai 17,848 penerima.
“Pembayaran ini melibatkan bantuan sekali gus sebanyak RM600 bagi tempoh April hingga Jun 2026.
“Saya berharap bantuan ini digunakan dengan bijak untuk memenuhi keperluan asas keluarga, menyokong pendidikan anak-anak serta membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin mencabar,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata program outreach seperti ini amat penting kerana memberi peluang kepada kerajaan untuk berinteraksi secara langsung dengan rakyat, memahami cabaran yang dihadapi serta memastikan semua bentuk bantuan dan inisiatif kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan. -pr/BNN





