KOTA KINABALU: Selaras dengan prestasi nasional, ekonomi Negeri Sabah berkembang 5.1 peratus pada tahun 2025, meningkat dengan ketara berbanding pertumbuhan 1.2 peratus yang direkodkan pada tahun 2024.
Seiring dengan perkembangan ini, nilai KDNK Sabah pada harga semasa meningkat kepada RM88.8 bilion, berbanding RM84.5 bilion pada tahun sebelumnya, iaitu pertambahan sebanyak RM4.3 bilion.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan KELUARAN DALAM NEGERI KASAR (KDNK) MENGIKUT NEGERI, 2025 yang memperincikan prestasi ekonomi negeri berdasarkan perspektif sektoral serta komposisi ekonomi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
Ekonomi Malaysia terus menunjukkan momentum pertumbuhan yang positif apabila berkembang 5.2 peratus pada tahun 2025, mengekalkan kadar pertumbuhan yang sama seperti tahun sebelumnya.
Menelusuri komposisi ekonomi Negeri Sabah, sektor Perkhidmatan dan sektor Perlombongan & Pengkuarian kekal sebagai komponen terbesar kepada KDNK Sabah dengan sumbangan kumulatif 74.1 peratus, diikuti sektor Pertanian yang menyumbang 13.9 peratus.
Penyumbang seterusnya ialah sektor Pembuatan dan sektor Pembinaan yang masing-masing menyumbang 7.2 peratus dan 4.4 peratus. Duti import: 0.4 peratus).
Sektor Perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama ekonomi negeri ini berkembang 4.5 peratus (2024: 4.2 peratus) dipacu subsektor berkaitan pelancongan, iaitu Perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan serta subsektor Perkhidmatan Kerajaan.
Sektor Perlombongan & Pengkuarian yang merupakan penyumbang kedua ekonomi Sabah melantun kepada 4.9 peratus (2024: negatif 4.9 peratus), berikutan peningkatan dalam pengeluaran minyak mentah & kondensat serta gas asli dan sektor ini menyumbang 22.0 peratus kepada keseluruhan ekonomi Sabah.
Sektor Pertanian memulih 0.9 peratus (2024: negatif 3.2 peratus) didorong oleh peningkatan dalam subsektor Tanaman, iaitu kelapa sawit.
Sektor Pembuatan turut meningkat 5.0 peratus (2024: 1.2 peratus) didorong oleh produk minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan.
Manakala, sektor Pembinaan di Sabah mengukuh 28.3 peratus (2024: 21.5 peratus) didorong oleh pertumbuhan dalam semua subsektor, terutamanya subsektor Kejuruteraan awam.
Dari segi prestasi KDNK per kapita, Sabah merekodkan peningkatan sebanyak RM550, iaitu daripada RM30,575 kepada RM31,125, dan masih jauh di bawah paras nasional (RM59,167).
Secara keseluruhannya, ekonomi Sabah menyumbang 5.1 peratus kepada ekonomi Malaysia. Sumbangan ini kekal sama berbanding tahun sebelumnya dan kekal di kedudukan ketujuh sebagai kuasa ekonomi di negara.-pr/BNN





