KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah mengalu-alukan dan memuji inisiatif proaktif Kerajaan Persekutuan melalui Program e-Rebat NUR@PETRA yang bertujuan membantu pengguna meringankan beban kewangan dalam pembelian peralatan elektrik rumah yang cekap tenaga.
Di bawah inisiatif ini, pengguna yang layak boleh menikmati rebat sehingga RM200 bagi setiap individu atau isi rumah untuk pembelian peralatan elektrik berkecekapan tenaga bertaraf 5 bintang yang diperakui oleh Energy Commission (ST) atau Energy Commission of Sabah (ECoS).
YPNM Sabah melihat inisiatif ini sebagai satu langkah yang tepat pada masanya dan berorientasikan rakyat, khususnya ketika ramai pengguna masih berdepan dengan peningkatan kos sara hidup serta bil elektrik yang semakin meningkat.
Program ini bukan sahaja membantu pengguna mengurangkan kos pembelian awal peralatan elektrik, malah turut memberi manfaat jangka panjang melalui penjimatan penggunaan tenaga elektrik setiap bulan.
Bagi pengguna di Sabah, di mana penggunaan elektrik lazimnya meningkat disebabkan cuaca panas dan kebergantungan yang tinggi terhadap penggunaan penghawa dingin, inisiatif ini dijangka memberi kelegaan kewangan yang amat bermakna kepada rakyat.
YPNM Sabah menggalakkan semua pengguna untuk mengambil peluang sepenuhnya terhadap program ini dengan memilih peralatan elektrik yang diperakui cekap tenaga.
Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan bil elektrik bulanan, malah turut menyokong agenda kecekapan tenaga dan kelestarian negara.
Pada masa yang sama, YPNM turut menggesa pengguna agar sentiasa berwaspada dan memastikan peralatan yang dibeli adalah model yang sah di bawah Program NUR@PETRA serta mempunyai pensijilan kecekapan tenaga yang diiktiraf.
YPNM percaya bahawa inisiatif seperti NUR@PETRA membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menjaga kebajikan pengguna, menggalakkan penggunaan tenaga secara mampan, serta membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.-pr/BNN





