BEAUFORT: Pemimpin akar umbi perlu terus memainkan peranan sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat bagi memastikan setiap dasar, program dan agenda pembangunan disampaikan secara tepat, sekali gus memperkukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap usaha pembangunan negara.

Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang, berkata pemimpin masyarakat berada di barisan hadapan kerana paling hampir dengan rakyat dan menjadi saluran utama dalam menyampaikan maklumat yang sahih.

Beliau berkata, peranan itu semakin mencabar dalam era media sosial berikutan lambakan maklumat yang tidak semuanya benar.

“Pemimpin masyarakat perlu menjadi ejen penyampai maklumat yang bertanggungjawab dengan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsikan kepada masyarakat.

“Berita palsu, fitnah dan maklumat mengelirukan bukan sahaja mencetuskan salah faham, malah boleh menjejaskan keharmonian serta perpaduan masyarakat,” katanya

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penangguhan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI Peringkat Komuniti di Dewan Pa Musa, di sini, hari ini.

Kira-kira 900 peserta terdiri daripada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung, Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Dalam Bandar (JKDB) serta pemimpin masyarakat menghadiri seminar anjuran bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan UPPM Sabah itu.

Turut hadir Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Pejabat Perdana Menteri Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Haji Nordin Lossin; pegawai-pegawai AKM, UPPM Sabah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Awang Kadin berkata, pemimpin masyarakat juga perlu terus menghayati prinsip Rukun Negara dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian melalui amalan saling menghormati, bertoleransi serta memupuk semangat perpaduan.

Katanya, aspirasi Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Sabah hanya dapat direalisasikan sekiranya semua pemimpin akar umbi terus berintegriti, berwibawa serta memainkan peranan sebagai jambatan yang kukuh antara kerajaan dengan rakyat.

“Saya berharap seminar ini dapat memperkukuhkan semangat kenegaraan, meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap dasar kerajaan serta melahirkan rakyat yang lebih berinformasi, berintegriti dan menghayati nilai Malaysia MADANI serta Sabah Maju Jaya,” katanya.-pr/BNN