KUALA LUMPUR: Sekretariat Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) Semenanjung Malaysia menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan tegas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berhubung langkah memperincikan semula mekanisme pelaksanaan subsidi diesel bersasar di peringkat Jemaah Menteri Negeri.
Langkah mengadakan mesyuarat susulan khas pada 17 Julai ini antara agensi Kerajaan Negeri, Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), dan agensi Persekutuan membuktikan bahawa kepimpinan Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan denyut nadi dan kebajikan rakyat Sabah sebagai keutamaan tertinggi.
Kesungguhan YAB Ketua Menteri ini adalah manifestasi jelas yang selari dengan prinsip Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang mengutamakan kesejahteraan rakyat dan ketelusan urus tadbir.
Pengerusi Sekretariat SABAR Semenanjung, Muhammad Faisal Mohamad Mohidin menegaskan, pasca-peluasan dasar subsidi bersasar bermula 1 Julai lalu, Sabah memerlukan pendekatan acuan tempatan (Sabah-centric solution) dan bukannya pelaksanaan secara semberono berpandukan formula Semenanjung.
Tindakan pantas YAB Ketua Menteri membawa isu ini ke Mesyuarat Kabinet Negeri pada 13 Julai lalu membuktikan pentadbiran beliau sangat responsif terhadap aduan di lapangan.
“Kita harus berpijak di bumi yang nyata. Geografi Sabah yang luas, jaringan logistik luar bandar yang mencabar, serta kebergantungan tinggi terhadap kenderaan diesel memerlukan kelonggaran syarat yang dinamik.
Isu teknikal seperti pemilikan kenderaan secara ‘sambung bayar’ atau kenderaan pertanian tanpa dokumen komersial yang lengkap tidak harus menjadi batu penghalang untuk usahawan, petani, dan pekebun kecil tempatan kita mendapat hak subsidi mereka menerusi BUDI Diesel.
Oleh itu, SABAR menyokong penuh ketegasan YAB Ketua Menteri dalam menuntut keadilan fiskal yang hakiki.
Sebagai wilayah pengeluar utama petroleum negara, sebarang bentuk rasionalisasi subsidi oleh Kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya mengakibatkan inflasi domestik atau menjejaskan kos sara hidup rakyat di Sabah secara tidak adil di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” kata Faisal.
Sehubungan itu, SABAR Semenanjung menyarankan agar mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman esok, dapat memanfaatkan ruang libat urus ini untuk mendesak Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) memberikan fleksibiliti pendaftaran secara bersasar khusus untuk acuan Sabah.
Setiap dasar fiskal baharu Persekutuan disaran agar sentiasa melalui proses rundingan bersilang yang telus bersama Kerajaan Negeri sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya demi melindungi rantaian kos logistik dan harga barang kawalan domestik.
SABAR Semenanjung komited untuk terus menjadi jambatan suara masyarakat Sabah di Semenanjung dan di tanah air serta berdiri teguh di belakang usaha Ketua Menteri untuk memastikan hak, perlindungan, dan keadilan ekonomi rakyat Sabah sentiasa terpelihara.-BNN





