PUTATAN: Isu bekalan air di Kondominum Kingfisher Putatan mencapai ‘jalan keluar’ selepas satu persefahaman melibatkan bantuan kapasiti bekalan air oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dibincang bersama dengan pihak pemaju serta komuniti setempat.

Ahli Parlimen Putatan; Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, dalam pertemuan di antara  pemaju, wakil penghuni dan pegawai JANS hari ini, permasalahan kedua-dua pihak telah disuarakan dengan JANS bersetuju memberi jaminan bekalan sebanyak 180 hingga 200 meter kiub sehari bagi penggunaan seharian ke kawasan Kondominum Kingfisher Putatan.

“Pada perbincangan petang ini, kita telah mendengar ulasan kedua-dua pihak di mana pihak JANS yang diwakili oleh Jurutera Daerah JANS Kota Kinabalu, Douglas Gumbilai dan pihak pengurusan Kondominum Kingfisher Putatan serta wakil penghuni di situ.

“Hasil pertemuan ini juga telah mencapai persetujuan di mana JANS telah berjanji membekalkan saluran 180 hingga 200 meter kiub sehari dan jika tidak mencukupi, mereka akan menghantar lori tangki air untuk mencukupkan kapasiti berkenaan.

“Saya agak berpuas hati dengan keputusan berkenaan dan berharap permasalahan yang dihadapi kira-kira 500 penghuni di situ dapat diselesaikan dari semasa ke semasa, “katanya.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan khas antara pihak JANS dan wakil Kondominum Kingfisher Putatan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Putatan, hari ini.

Terdahulu, isu bekalan air di lokasi berkenaan menjadi tular baru-baru ini sehingga pihak pengurusan terpaksa menanggung kos lebih RM120,000 kerana mendapatkan bekalan air daripada pembekal luar.

Sementara itu, Shahelmey berkata, pihaknya turut mendapat maklum balas pihak JANS terhadap kapasiti bekalan air yang kurang mencukupi terutamanya di kawasan Putatan Selatan akibat kelewatan penyiapan loji Kogopon Dua daripada jadual.

“Dalam perbincangan tersebut JANS memaklumkan tambahan bekalan air di Putatan akan bertambah apabila siapnya loji air kapasiti dengan kapasiti 10MLD yang baru di Kasigui Dan 15MLD daripada Kogopon Dua.

“Saya harap JANS melalui kontraktor yang dilantik mereka segeralah mengatasi permasalahan yang telah menyebabkan kelewatan tempoh siap itu kerana ia telah sedikit sebanyak menggangu proses saluran bekalan air yang tertumpu daripada loji Kasigui, di Penampang, “katanya.-pr/BNN