KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri akan memperkukuh agenda pembangunan Sabah menerusi pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, sekali gus meneruskan usahanya untuk membina sebuah negeri yang lebih maju, berdaya saing dan makmur.
Beliau berkata, hal ini adalah selaras dengan aspirasi tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia MADANI: Kemakmuran Bersama.”
“Pelan hala tuju ini memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi yang mampan, pemerkasaan modal insan, peningkatan produktiviti, penyertaan daya saing yang tinggi, penerapan inovasi dan teknologi, serta pembangunan inklusif agar faedahnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Menara Kinabalu hari ini.
Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif yang memberi impak secara langsung kepada kehidupan rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan, kebajikan, perumahan, penjagaan kesihatan, pembangunan luar bandar, pemerkasaan wanita dan belia, serta penyediaan kemudahan asas yang lebih baik.
“Saya yakin dengan semangat kebersamaan, integriti dalam tadbir urus, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, serta sokongan padu daripada rakyat, kita mampu membawa Sabah lebih maju ke hadapan sebagai sebuah negeri yang berdaya saing dan sejahtera.
“Pada akhirnya, ukuran sebenar kejayaan sesebuah kerajaan bukannya terletak pada apa yang telah dibina, tetapi sejauh mana rakyat mendapat manfaat daripada pembangunan tersebut,” katanya.
Hajiji berkata, pelancaran Kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri tidak seharusnya dilihat sebagai acara seremonial semata-mata, sebaliknya perlu dirai dengan semangat patriotisme yang tinggi.
“Marilah kita bersama-sama merenung makna sebenar kemerdekaan. Kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada cengkaman penjajah, tetapi juga bebas daripada belenggu kemiskinan dan perpecahan. Ia adalah anugerah bernilai yang mesti kita hargai dan pertahankan,” katanya.
Ketua Menteri berkata dalam era digital ini, rakyat mempunyai peluang yang lebih besar untuk menyuarakan pandangan mereka serta mengikuti perkembangan pembangunan negeri.
“Kerajaan Negeri menghargai setiap pandangan dan teguran binaan sebagai cerminan keprihatinan rakyat terhadap masa depan Sabah.
“Walau bagaimanapun, semua pandangan hendaklah disuarakan secara bertanggungjawab, berasaskan fakta yang sahih dan dengan niat untuk membina, bukannya memecahbelahkan masyarakat.
“Marilah kita memanfaatkan teknologi dengan bijak untuk menyebarkan maklumat yang tepat, memupuk persefahaman bersama dan memperkukuh perpaduan,” katanya.
Beliau menyeru seluruh rakyat untuk mengibarkan bendera kebangsaan di seluruh negeri dengan penuh rasa bangga dan semangat patriotik.
“Semoga seluruh rakyat Sabah terus bersatu padu, bekerjasama dan saling menyokong demi masa depan Sabah yang lebih cerah.
“Jadikanlah sambutan tahun ini sebagai komitmen baharu untuk membina Sabah yang lebih maju dan makmur,” katanya.-pr/BNN





