TAWAU: Masalah bekalan air yang menjejaskan penduduk di daerah ini dijangka dapat diselesaikan sebaik sahaja projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta siap sebelum akhir tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, projek yang melibatkan pembinaan empangan untuk membekalkan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Cinta Mata 1 dan Cinta Mata 2 itu berjalan mengikut jadual.

Beliau menyifatkan ia sebagai perkembangan positif dalam usaha pentadbiran beliau untuk menangani masalah bekalan air berlarutan yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

“Kita boleh lihat projek ini berjalan dengan lancar dan mengikut jadual. Walaupun pihak kontraktor ada memohon lanjutan masa, apa yang penting ia masih dijadualkan siap sebelum akhir tahun 2027.

“Kita mewarisi masalah-masalah ini; ia bukannya timbul semasa tempoh pentadbiran kerajaan sedia ada. Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita melakukan yang terbaik dengan memperuntukkan dana yang diperlukan untuk menyelesaikan isu ini dan menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan Empangan Air Tawau dan Loji Rawatan Air Cinta Mata di sini pada Ahad.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri bersedia untuk mempertimbangkan peruntukan tambahan bagi projek itu sekiranya perlu, tertakluk kepada laporan daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau menyatakan pihak kerajaan berpuas hati dengan prestasi projek berkenaan selepas diberi taklimat mengenai kemajuannya serta kontraktor yang bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Terdahulu, Hajiji telah diberi taklimat mengenai Skim Bekalan Air Tawau Fasa III dan Pembangunan Infrastruktur Utama Bekalan Air Bagi Daerah Tawau oleh Pengurus Projek yang juga Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pemantauan Ibu Pejabat JANS, Rodney Tinggas.

Beliau turut menerima taklimat mengenai kawasan berisiko banjir di perbandaran Tawau serta Pelan Projek Tebatan Banjir Tawau daripada Jurutera Daerah JPS Tawau, Syahzarul Rizal Joddari.

Menurut taklimat JANS, projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa III bernilai RM450.5 juta yang merangkumi pembinaan Empangan Air Tawau itu telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 74.04 peratus setakat 25 Julai, berbanding sasaran jadual iaitu 73.89 peratus.

Projek ini merangkumi pembinaan empangan dengan kapasiti simpanan air mentah sebanyak 30 juta meter padu (MCM) dan pemasangan paip air mentah berukuran 700 milimeter sepanjang 11.6 kilometer.

Setelah siap kelak, empangan ini akan membekalkan air mentah ke LRA Cinta Mata 1, Cinta Mata 2, dan LRA Utara, dengan jumlah kapasiti pengeluaran air dirawat gabungan sebanyak 161 juta liter sehari.

Taklimat tersebut turut menyatakan bahawa projek ini bertujuan untuk memastikan bekalan air mentah yang terjamin ke LRA Cinta Mata 1 dan 2 serta LRA Utara, mengurangkan risiko kekurangan air mentah semasa musim kemarau, dan menyediakan sumber air mentah yang mampan.

Antara manfaat projek yang dijangkakan termasuklah memastikan bekalan air mentah yang mencukupi untuk loji rawatan sedia ada, meningkatkan kualiti air mentah menerusi simpanan takungan yang terkawal, serta mengurangkan risiko banjir di kawasan hilir Tawau.

Projek yang dilaksanakan oleh Citic Wijaya Construction ini dijadualkan siap pada 21 Oktober 2027.

Hajiji turut diberi taklimat mengenai kemajuan Loji Rawatan Air Cinta Mata 2, yang telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 16.08 peratus setakat 25 Julai.

Projek bernilai RM299.9 juta ini melibatkan pembinaan loji rawatan air berkapasiti 30 juta liter sehari, tangki simpanan air berkapasiti 20 juta liter dan 10 juta liter, serta pemasangan paip air dirawat sepanjang 12 kilometer dengan saiz diameter berukuran antara 150 milimeter hingga 800 milimeter.

Menurut JANS, projek ini bertujuan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air dirawat, memastikan bekalan air bersih yang stabil, dan menyediakan bekalan air bersih secara berterusan kepada pengguna.

Loji Rawatan Air Cinta Mata 2 dijadualkan siap pada 22 Julai 2028 dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 42,000 pengguna di Tawau dan kawasan sekitarnya.

Tawau kini mempunyai 53,133 akaun pengguna air berdaftar dengan rangkaian paip sepanjang 982.99 kilometer.

Walau bagaimanapun, pengeluaran air semasa hanya berada pada tahap 130 juta liter sehari, berbanding kadar permintaan sebanyak 142 juta liter sehari.

JANS turut menyenaraikan beberapa isu berterusan yang menjejaskan sistem bekalan air di Tawau, antaranya kadar Air Tidak Menjana Hasil (NRW) sebanyak 68 peratus, paip usang, kecurian air, kapasiti simpanan air yang tidak mencukupi, peralatan mekanikal dan elektrikal yang uzur, isu kualiti dan kuantiti air mentah, kekangan logistik, serta pelaksanaan catuan air.-pr/BNN