KENINGAU: Pelaksanaan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 diyakini mampu memperkukuh pembangunan negeri secara menyeluruh serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, kata Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles.
Beliau berkata, pihaknya menyambut baik dan menyokong penuh komitmen Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor untuk meneruskan agenda pembangunan negeri menerusi pelaksanaan SMJ 2.0 demi kemakmuran Sabah.
Menurutnya, iltizam yang ditunjukkan kerajaan negeri membuktikan kepimpinan Ketua Menteri sentiasa komited merancang pembangunan secara strategik dan inklusif supaya manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh rakyat.
Katanya, SMJ 2.0 menyediakan hala tuju yang jelas dalam memperkukuh ekonomi negeri, meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkasa pembangunan modal insan serta memperluaskan peluang pekerjaan dan pelaburan di Sabah.
“Pelaksanaan SMJ 2.0 mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk meneruskan agenda pembangunan secara mampan demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Ia juga menyerlahkan kepimpinan Hajiji yang mempunyai wawasan jauh serta sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dalam setiap dasar yang dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Yazid berkata, di bawah kepimpinan Hajiji, Sabah turut merekodkan pelbagai perkembangan positif termasuk peningkatan hasil negeri, kemasukan pelaburan yang memberangsangkan serta pelaksanaan pelbagai program pembangunan dan kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Beliau berkata, pencapaian itu turut didorong oleh semangat kerjasama dan kesepaduan dalam kalangan Jemaah Menteri Negeri dalam merealisasikan aspirasi SMJ.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat terus memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap agenda pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kita yakin dengan kestabilan politik, tadbir urus yang baik serta hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, Sabah akan terus melakar kemajuan sebagai sebuah negeri yang berdaya saing, progresif dan makmur. Marilah kita bersama-sama menjayakan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0 demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang,” katanya.-pr/BNN




