PENSIANGAN: Program joy ride anjuran Keningau Bikers Club (KBC) bukan sekadar mengumpulkan peminat motosikal, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim sambil mengimbau sejarah serta menyaksikan perubahan pembangunan di kawasan pedalaman Pensiangan.

Konvoi yang diketuai Sifu Joseph Ho Kung Sang itu membabitkan peserta dari Keningau, Nabawan, Sepulut dan Pensiangan yang menempuh perjalanan kira-kira 180 kilometer ke pekan sempadan berkenaan.

Sepanjang perjalanan, peserta singgah di beberapa lokasi bersejarah termasuk bangunan Kedai Goh Chung Fatt yang dibina sekitar penghujung 1960-an serta bekas Kedai Runcit Tai Tong Hing, kedua-duanya menjadi saksi perkembangan awal aktiviti perdagangan di Pensiangan.

Konvoi turut mengunjungi Mahkamah Anak Negeri Mukim Pensiangan sebelum meneruskan perjalanan ke Jambatan Gantung Pensiangan berhampiran sempadan Sabah-Indonesia yang terkenal dengan panorama alam semula jadinya.

Program itu turut memberi peluang kepada peserta mengenang perubahan ketara rangkaian jalan raya di kawasan pedalaman yang dahulunya hanya jalan balak dan sukar dilalui, tetapi kini berturap serta memudahkan perhubungan, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelancongan.

Peserta turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin yang memperjuangkan pembangunan infrastruktur di Pensiangan sejak beberapa dekad lalu, termasuk mendiang Tan Sri Joseph Kurup dan mendiang Datuk Dr Bernard Stephen Manfaat, sebelum usaha itu diteruskan oleh Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Bagi peserta, program berkenaan bukan sekadar aktiviti rekreasi, sebaliknya mengukuhkan persahabatan serta memberi peluang menghargai sejarah dan pembangunan yang mengubah wajah Pensiangan tanpa menghakis identiti serta warisan daerah itu.-pr/BNN