KOTA KINABALU: Program Tunas Niaga (PROTUNE) Peringkat Negeri Sabah 2025 mencatat jualan keseluruhan lebih RM1.4 juta sepanjang sembilan bulan pelaksanaannya, sekali gus membuktikan potensi besar pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, berkata syarikat PROTUNE daripada sekolah yang menyertai program itu merekodkan jualan sebanyak RM1,408,632.26 dengan keuntungan bersih RM380,098.41.
Beliau berkata, kejayaan itu bukan sekadar diukur menerusi jualan dan keuntungan, malah pengalaman serta kemahiran kepimpinan, komunikasi, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan yang diperoleh peserta sepanjang program.
Pada masa sama, katanya, beliau meluluskan tambahan dana RM2,000 kepada setiap 15 sekolah finalis menerusi Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan Menteri MINDET, selain RM10,000 kepada syarikat sekolah penerima Anugerah PROTUNE 2025.
Ewon berkata, kerajaan negeri menerusi MINDET akan terus menyokong pelaksanaan PROTUNE bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda yang kreatif, inovatif dan berdaya saing selaras dengan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 serta Wawasan Sabah First.
Pada majlis itu, SMK Sepagaya, Lahad Datu muncul sebagai penerima Anugerah Syarikat PROTUNE Terbaik 2025 dan membawa pulang wang tunai RM2,500 berserta piala serta sijil.-pr/BNN





