KOTA KINABALU: Tindakan Malaysia Aviation Group (MAG) mewajibkan saringan dadah terhadap 1,260 juruterbang Malaysia Airlines disifatkan langkah tepat dan tegas bagi memastikan aspek keselamatan penerbangan sentiasa menjadi keutamaan.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, Haji Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata langkah berkenaan amat penting susulan kejadian membabitkan seorang juruterbang yang ditahan di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam kes dadah, yang boleh menjejaskan keyakinan penumpang terhadap keselamatan penerbangan.

“Perbuatan sedemikian, jika terbukti, bukan sahaja melanggar undang-undang dan etika profesional, malah amat memalukan nama baik Malaysia, khususnya industri penerbangan negara.

“Bagaimanapun, kita menghargai penjelasan MAG bahawa individu berkenaan bukan juruterbang yang mengendalikan penerbangan tersebut dan keselamatan penerbangan terbabit sentiasa dikendalikan oleh dua juruterbang operasi yang bertauliah,” katanya.

Menurutnya, mekanisme saringan dadah wajar terus diperkukuhkan dan diperluaskan kepada semua warga kerja yang terbabit secara langsung dalam operasi serta aspek keselamatan penerbangan, bukan hanya juruterbang.

Beliau turut mencadangkan supaya saringan berkala dilaksanakan, termasuk setiap tiga bulan, selain ujian secara rawak yang sudah diamalkan bagi memastikan sebarang risiko dapat dikenal pasti lebih awal.

“Langkah ini bukan bermaksud kita mencurigai semua juruterbang atau warga kerja, sebaliknya ia adalah langkah pencegahan bagi memastikan setiap individu yang menjalankan tugas kritikal benar-benar sihat, cergas, fokus dan bebas daripada pengaruh dadah atau bahan terlarang.

“Dalam penerbangan, kesilapan kecil boleh membawa akibat besar kerana ia membabitkan nyawa manusia. Sebab itu aspek keselamatan, disiplin dan kesiapsiagaan kru tidak boleh dikompromikan,” katanya.

Yazid berkata, tindakan pantas MAG juga penting bagi memulihkan serta meningkatkan keyakinan orang ramai untuk terus menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines.

“Penumpang mahu tahu bahawa apabila menaiki pesawat, mereka berada dalam keadaan selamat dan dikendalikan kru yang profesional, berintegriti serta benar-benar bersedia untuk bertugas.

“Kita tidak mahu satu insiden terpencil menjejaskan reputasi dan kepercayaan terhadap ribuan warga kerja penerbangan yang menjalankan tugas dengan penuh profesionalisme,” katanya.

Beliau berharap MAG bersama pihak berkuasa penerbangan terus memperketatkan mekanisme saringan, pemantauan dan pencegahan bagi memastikan sebarang risiko dapat dikesan dan ditangani lebih awal.

“Keselamatan penumpang mesti menjadi keutamaan. Keyakinan penumpang adalah amanah dan keselamatan penerbangan tidak boleh dikompromikan,” katanya.-pr/BNN