KENINGAU: Warga Keningau dijemput memeriahkan Program Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sempena Kembara Merdeka Jalur Gemilang Sabah 2026 Peringkat Daerah Keningau di Dewan Masyarakat Keningau, 13 Ogos ini.
Program dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan untuk seisi keluarga.
Pegawai Penerangan Persatuan Etnik Murut Nabai Sabah (NABAAI), Razali Ujoh, berkata antara pengisian program ialah Jualan Rahmah MADANI, pemeriksaan kesihatan, kempen derma darah, pameran warisan budaya dan kaunter perkhidmatan agensi kerajaan.
Katanya, program turut menampilkan cabutan bertuah, Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang serta pelbagai aktiviti kekeluargaan yang terbuka kepada orang ramai secara percuma.
“Program ini bukan sekadar sambutan, tetapi ruang untuk menyatukan masyarakat melalui semangat patriotisme dan penghargaan terhadap sejarah perjuangan negara.
“Kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh kebanggaan sebagai tanda kecintaan kita kepada Malaysia,” katanya.-pr/BNN





