KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menyuarakan kebimbangan terhadap kenaikan harga tiket penerbangan antara Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur, khususnya pada musim puncak, yang disifatkan bukan lagi sekadar isu perjalanan, sebaliknya membabitkan akses pendidikan, peluang ekonomi, mobiliti sosial dan hubungan kekeluargaan.

Presidennya, Abqaree Fawwaz Abekan, berkata bagi rakyat Sabah, penerbangan bukan kemewahan, tetapi keperluan berikutan ketiadaan alternatif jalan raya atau kereta api yang menghubungkan negeri itu dengan Semenanjung.

“Bagi rakyat Sabah, kapal terbang bukan kemewahan, ia adalah keperluan. Apabila tambang terlalu tinggi, mahasiswa mungkin terpaksa menangguhkan perjalanan ke kampus, usahawan muda kehilangan peluang dan atlet terpaksa memikirkan semula penyertaan dalam pertandingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu turut memberi tekanan kepada keluarga, terutama apabila anak Sabah di Semenanjung perlu pulang susulan kecemasan atau kematian ahli keluarga, tetapi terpaksa memikirkan kemampuan membeli tiket.

“Jarak tidak sepatutnya menjadi hukuman kepada rakyat Sabah,” katanya.

Menurut Abqaree, kos mobiliti yang tinggi akhirnya memberi kesan kepada pembangunan Sabah kerana rakyat negeri itu terpaksa menanggung ‘kos geografi’ untuk mendapatkan peluang pendidikan, pekerjaan dan ekonomi di peringkat nasional.

Sehubungan itu, MBS menggesa Kerajaan Persekutuan dan pihak berkaitan mengambil langkah lebih berkesan, termasuk meningkatkan kapasiti tempat duduk ketika musim puncak, menggalakkan persaingan antara syarikat penerbangan serta memperkukuh pemantauan terhadap lonjakan tambang.

MBS turut mencadangkan mekanisme bantuan atau tambang bersasar dipertimbangkan bagi golongan tertentu, termasuk mahasiswa, atlet dan mereka yang perlu melakukan perjalanan atas urusan kecemasan keluarga.

“Kami memahami industri penerbangan mempunyai kos operasi dan harga dipengaruhi permintaan. Tetapi faktor geografi tidak seharusnya menyebabkan rakyat Sabah membayar harga terlalu tinggi untuk mendapatkan peluang yang sama,” katanya.

Abqaree berkata, MBS tidak menuntut tiket percuma, sebaliknya mahu sistem penerbangan yang lebih adil kerana laluan Sabah-Semenanjung bukan sekadar menghubungkan dua destinasi, tetapi keluarga, pendidikan, pekerjaan, peluang dan masa depan anak-anak Sabah.-pr/BNN