KOTA KINABALU: Borneo Nature Tours Sdn Bhd (BNT), pemasar utama Borneo Rainforest Lodge (BRL), secara rasmi membuka Pusat Pengalaman Borneo Nature Tours yang baharu di KK Times Square.
Borneo Rainforest Lodge, yang dikendalikan oleh Innoprise Jungle Lodge Sdn Bhd, merupakan destinasi hutan hujan utama di Lembah Danum.
Pusat berkenaan menyediakan ruang yang selesa untuk pengunjung mendapatkan maklumat, merancang perjalanan serta mengenali pengalaman menerokai hutan hujan Sabah.
Majlis pembukaan itu dihadiri Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Jasnih Dayah, bersama Pengurus Kumpulan, Bahagian Pembangunan Perniagaan Korporat Yayasan Sabah, Budirman Daud dan Setiausaha Syarikat Kanan Yayasan Sabah, Jocelyn Chong Fung Ken.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Nature Tours Sdn Bhd dan Innoprise Jungle Lodge Sdn Bhd, Freddie Coleman; Ketua Pegawai Operasi, Sail Jamaludin; serta Ketua Pegawai Kewangan, Esner Chong, bersama warga kerja BNT.
Sebagai pusat sehenti baharu untuk pengunjung, pusat pengalaman itu memudahkan urusan tempahan penginapan di BRL, pertanyaan, khidmat nasihat berkaitan lawatan dan itinerari serta pembelian barangan cenderamata BRL.
Menurut Freddie, pusat itu bukan sekadar pejabat tempahan, sebaliknya menjadi ruang untuk pengunjung berinteraksi dengan pasukan BNT dan mendapatkan gambaran mengenai pengalaman yang bakal dilalui di Borneo Rainforest Lodge sebelum memulakan perjalanan.
Dalam majlis itu, beliau turut memaklumkan mengenai Promosi Kadar Tempatan BRL yang ditawarkan khusus kepada rakyat Malaysia bagi penginapan dari November 2026 hingga 28 Februari 2027.
Promosi itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia menikmati keindahan alam semula jadi, hidupan liar dan ketenangan Lembah Danum pada kadar istimewa.
Pengunjung yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat tempahan di Pusat Pengalaman Borneo Nature Tours.
Pembukaan pusat pengalaman itu merupakan satu lagi langkah BNT memperkukuh hubungan dengan pengunjung serta membuka lebih banyak peluang kepada pelancong tempatan dan antarabangsa untuk menerokai khazanah alam semula jadi dan budaya Sabah.-pr/BNN





