KOTA KINABALU: Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) dan Jetama Sdn Bhd (Jetama) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meneroka potensi pembangunan sistem bekalan air industri untuk menyokong keperluan industri yang semakin berkembang di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Majlis menandatangani MoU itu disaksikan Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.
Kerjasama berkenaan menyediakan rangka kerja kepada kedua-dua pihak untuk menilai kebolehlaksanaan teknikal dan komersial pembangunan sistem bekalan air industri yang boleh dipercayai dan mampan, selaras dengan perkembangan SOGIP serta peningkatan aktiviti pelaburan di taman perindustrian berkenaan.
Menerusi kerjasama itu, SOGDC akan memudah cara penglibatan dengan pelabur, menyelaras keperluan tapak serta berhubung dengan pihak berkepentingan, manakala Jetama akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan selain menyumbang kepakaran teknikal dalam perancangan, reka bentuk, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan sistem yang dicadangkan.
Inisiatif itu dijangka dapat memperkukuh infrastruktur sokongan di SOGIP, meningkatkan kesediaan taman perindustrian berkenaan untuk menerima pelaburan industri pada masa hadapan, selain meningkatkan keyakinan pelabur sedia ada dan bakal pelabur.
Melalui kerjasama itu, SOGDC dan Jetama berhasrat menggabungkan kekuatan serta kepakaran masing-masing bagi meneroka penyelesaian bekalan air industri yang praktikal dan berdaya maju secara komersial untuk menyokong pembangunan jangka panjang SOGIP.
MoU berkenaan turut mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi dalam menyokong agenda pembangunan perindustrian Sabah serta memperkukuh SOGIP sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif.
Hadir sama Pengerusi Jetama Sdn Bhd, Datuk Haji Faisyal Datuk Yusof Hamdan Diego; Pengerusi SOGDC, Datuk Ir Shahelmey Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang; dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC, Mohd Azmir Datuk Ramli.-pr/BNN





