KOTA KINABALU: Jenama makanan segera kelahiran Sabah, Borenos Fried Chicken, terus mengorak langkah dalam pasaran Malaysia apabila membuka cawangan ke-10 di Imago Shopping Mall, di sini, hari ini.

Pembukaan rasmi cawangan berkenaan disempurnakan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, yang turut menjadi antara penyokong Borenos sejak peringkat awal penubuhannya.

Pencapaian itu hadir tidak lama selepas pembukaan cawangan Borenos di Bangi, Selangor pada 11 Ogos lalu, sekali gus mencerminkan perkembangan berterusan jenama tempatan berkenaan di seluruh negara.

Kini, Borenos mempunyai tujuh cawangan di Sabah dan tiga di Semenanjung Malaysia.

Majlis pembukaan turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan tradisional di hadapan premis, mengetengahkan identiti serta elemen budaya Sabah dalam perkembangan jenama berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Borenos, Janice Yeo berkata, pencapaian cawangan ke-10 bukanlah titik penamat, sebaliknya permulaan baharu dalam perjalanan syarikat untuk berkembang lebih jauh.

“Cawangan ke-10 bukan garisan penamat. Ia adalah satu lagi permulaan. Ketika kami berkembang di luar Sabah, kami membawa sesuatu yang sangat penting bersama kami iaitu kemesraan, layanan mesra dan semangat Sabah,” katanya.

Menurutnya, pembukaan di Imago mempunyai makna tersendiri kerana pusat beli-belah itu menjadi tumpuan bukan sahaja masyarakat Sabah, malah pengunjung dari seluruh Malaysia dan luar negara.

Katanya, keadaan itu memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk mengenali dan merasai produk daripada jenama tempatan yang membawa identiti Sabah.

Dalam pada itu, perkembangan Borenos turut mendapat pengiktirafan dalam industri makanan dan minuman.

Jenama makanan halal tempatan itu menerima anugerah The BrandLaureate World Halal BestBrands Awards 2026 – Signature Brand, selain diiktiraf menerusi GrabFood 5-Star Awards selama tiga tahun berturut-turut.

Antara pengiktirafan diterima termasuk Best Western Food pada 2023 serta Crowd’s Favourite Western Food pada 2024 dan 2025.

Dengan 10 cawangan kini beroperasi di Sabah dan Semenanjung Malaysia, Borenos terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara jenama tempatan yang berjaya membawa produk dan identiti Sabah ke pasaran nasional.

Perkembangan itu turut membuka ruang kepada jenama berkenaan untuk meneroka pasaran antarabangsa pada masa akan datang, selaras dengan aspirasinya untuk berkembang dari Sabah ke seluruh Malaysia dan seterusnya ke luar negara.-pr/BNN