KOTA KINABALU: Pendirian tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berhubung hak 40 peratus hasil Sabah wajar disokong seluruh rakyat negeri itu merentasi perbezaan politik.
Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said, berkata pada 11 September lalu, Hajiji sekali lagi menggesa supaya hak 40 peratus itu diselesaikan dan dilaksanakan tanpa kelewatan selanjutnya.
Katanya, isu berkenaan tidak seharusnya dijadikan isu parti kerana sebagai Ketua Menteri, Hajiji mewakili Sabah dalam memperjuangkan hak berperlembagaan yang menjadi milik rakyat negeri itu.
“Hak itu sudah wujud. Tidak ada keperluan untuk meminda Perlembagaan. Tugas sekarang adalah untuk bersetuju mengenai formula dan melaksanakannya,” katanya dalam pandangan yang disiarkan di Facebook.
Salleh berkata, jika jumlah penuh tidak dapat dibayar serta-merta, kedua-dua kerajaan perlu bersetuju mengenai apa yang boleh dilaksanakan sekarang serta mekanisme atau bentuk pembayaran.
Beliau berkata, RM1.5 bilion yang diberikan adalah Geran Khas interim dan bukannya penyelesaian muktamad terhadap hak 40 peratus Sabah.
“Oleh itu, ia tidak seharusnya menjejaskan hak berperlembagaan Sabah atau rundingan yang sedang berjalan mengenai formula dan jumlah sebenar,” katanya.
Mengenai tempoh yang telah berlalu, Salleh berkata isu “tahun-tahun yang hilang” (lost years) boleh dirundingkan secara berasingan tanpa melengahkan pelaksanaan untuk masa kini dan masa depan.
“Sabah sudah menunggu cukup lama. Mengenai 40 peratus, rakyat Sabah harus bersuara dengan satu suara. Pendirian Hajiji adalah pendirian Sabah,” katanya.-pr/BNN





