KOTA KINABALU: Penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu direalisasikan secepat mungkin bagi memastikan representasi lebih kukuh, terutama untuk membawa suara dan keperluan rakyat di kawasan pedalaman serta terpencil.

Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata penambahan itu penting supaya isu setempat dapat dibawa dengan lebih berkesan ke peringkat Parlimen dan mendapat perhatian yang sewajarnya.

“Kita mengalu-alukan apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri berkenaan penambahan kerusi bagi Sabah dan Sarawak.

“Harapan saya supaya perkara ini dapat direalisasikan dalam masa yang secepat mungkin, walaupun kita faham ia masih memerlukan beberapa prosedur termasuk pindaan Perlembagaan dan kelulusan Parlimen,” katanya.

Menurut Azizah, keperluan menambah kerusi bukan semata-mata berkaitan jumlah wakil rakyat, sebaliknya penting bagi memastikan isu serta keperluan setiap kawasan dapat diberikan perhatian lebih khusus.

Katanya, perkara itu turut berkait rapat dengan usaha menangani kemiskinan di Sabah yang memerlukan pendekatan lebih bersasar berdasarkan keadaan dan keperluan setiap kawasan.

“Kalau kita tidak tahu sesuatu tempat dan masalah yang mereka hadapi, bagaimana kita mahu merancang program yang benar-benar sesuai untuk membantu mereka.

“Tidak boleh kita menggunakan pendekatan yang sama untuk semua kawasan kerana setiap daerah dan komuniti mempunyai keperluan yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata, wakil rakyat yang benar-benar memahami keadaan kawasan masing-masing mampu membawa isu rakyat dengan lebih berkesan kerana mereka sendiri berdepan dengan realiti kehidupan masyarakat setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizah berkata Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) memberi penekanan terhadap kajian kemiskinan dengan mengenal pasti lokasi serta kelompok masyarakat yang terjejas, termasuk melalui pemetaan sehingga ke peringkat kampung.

“Tidak semua kawasan dalam sesebuah daerah itu miskin. Ada tempat-tempat tertentu yang mempunyai kadar kemiskinan lebih tinggi.

“Sebab itu kita sedang membuat pemetaan supaya kita dapat mengenal pasti dengan lebih tepat kampung dan kawasan yang memerlukan intervensi,” katanya.

Menurutnya, pegawai dan penyelidik IDS sudah turun ke beberapa daerah termasuk Pitas, Kota Marudu dan Semporna bagi mendapatkan maklumat secara langsung daripada pihak berkuasa daerah, termasuk melalui pertemuan beliau dengan Pegawai Daerah Semporna.

Azizah berkata, hasil kajian itu akan dikemukakan kepada pihak berkaitan, khususnya Kerajaan Negeri Sabah, selain mendapatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan supaya usaha menangani kemiskinan dapat dilaksanakan secara lebih tepat dan berkesan.

“Kita mahu menunjukkan dengan jelas kawasan-kawasan yang perlu diberikan perhatian supaya perancangan dan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan memberi ruang lebih besar kepada wanita dan golongan muda Sabah yang berkelayakan untuk tampil sebagai pemimpin dan wakil rakyat di Parlimen.

“Kita mahu lebih ramai wanita dan anak-anak muda Sabah yang berkebolehan tampil ke hadapan untuk mewakili rakyat di Parlimen.

“Beranilah bersuara, tetapi pastikan suara itu membawa kebenaran dan kepentingan rakyat, bukan sekadar untuk berteriak,” katanya.-pr/BNN