KOTA KINABALU: Sabah Moto Day 9.0 bukan sekadar acara permotoran, malah membawa mesej penting supaya komuniti permotoran sentiasa mengutamakan disiplin, keselamatan, tanggungjawab dan semangat kesukanan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata program yang kini memasuki edisi kesembilan itu berkembang sebagai platform menghimpunkan anak muda, komuniti permotoran, usahawan, agensi kerajaan dan pelbagai pihak dalam suasana persahabatan serta kekeluargaan.

Beliau berkata, penyertaan dalam program berkenaan terus meningkat dari tahun ke tahun, bukan sahaja membabitkan peminat permotoran dari seluruh Sabah, malah Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Brunei.

Katanya, perkembangan itu membuktikan Sabah Moto Day berjaya menjadi medan pertemuan dan membina jaringan komuniti permotoran lebih luas, bukan sahaja di peringkat negeri tetapi merentasi wilayah dan sempadan.

“Semangat yang kita mahu daripada komuniti permotoran ialah sentiasa mengutamakan disiplin, keselamatan, tanggungjawab dan semangat kesukanan.

“Tunjukkan bahawa komuniti permotoran adalah komuniti yang bertanggungjawab, menghormati pengguna jalan raya dan sentiasa mematuhi undang-undang,” katanya dalam ucapan sempena Program Belia Permotoran (Sabah Moto Day 9.0) di perkarangan Kompleks Sukan Kota Kinabalu, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk James Ratib.

Hajiji berkata, jalan raya tidak seharusnya dijadikan litar perlumbaan, sebaliknya minat, bakat dan keinginan untuk berlumba perlu disalurkan melalui platform yang sah, selamat dan teratur.

Beliau berkata, keistimewaan Sabah Moto Day ialah program itu tidak hanya memberi tumpuan kepada aktiviti permotoran semata-mata, sebaliknya mengetengahkan lima teras utama dengan matlamat membina anak muda Sabah yang aktif, berilmu, berdaya saing, bersatu dan bebas daripada gejala negatif.

“Kerajaan Negeri memandang serius usaha memastikan anak muda mempunyai ruang yang sihat dan positif untuk berkumpul, berkarya, bersukan serta mengembangkan potensi diri.

“Kita bukan sekadar menghimpunkan jentera dan peminat permotoran, tetapi menghimpunkan semangat, bakat dan potensi anak muda,” katanya.

Hajiji turut menyeru semua riders dan peserta supaya menjadikan minat terhadap dunia permotoran sebagai kekuatan positif dengan menjadi penunggang yang berdisiplin, matang dan bertanggungjawab, selain memastikan setiap aktiviti berlangsung dalam suasana aman, selamat, harmoni dan penuh dengan perkara positif.

Beliau turut berharap peserta dari luar Sabah bukan sahaja menikmati kemeriahan Sabah Moto Day, tetapi mengambil kesempatan meluangkan masa menerokai dan mengunjungi tempat-tempat menarik di negeri ini, sekali gus memberi manfaat lebih besar kepada golongan belia, masyarakat, ekonomi dan sektor pelancongan Sabah.-pr/BNN