KOTA KINABALU: Tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah dan penambahan kerusi Parlimen bukan agenda mana-mana parti politik, sebaliknya perjuangan mempertahankan hak Sabah yang perlu mendapat sokongan semua pihak.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (Backbenchers) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, kedua-dua perkara itu tidak seharusnya dipolitikkan kerana berkait dengan hak dan kedudukan Sabah dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, pendirian Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam memperjuangkan kedua-dua tuntutan berkenaan adalah atas kapasiti beliau sebagai ketua kerajaan negeri yang bertanggungjawab mempertahankan kepentingan rakyat Sabah.

“Rakyat Sabah sudah lama menunggu kedua-dua perkara dalam MA63 itu dilaksanakan kerana manfaatnya bukan hanya kepada kerajaan, malah turut dinikmati semua pihak termasuk pembangkang.

“Penambahan kerusi itu perlu bagi memastikan nisbah perwakilan wilayah Borneo lebih tinggi di dalam Dewan Parlimen,” katanya.

Masiung berkata, pendirian Hajiji turut ditegaskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu pada 11 September lalu.

Dalam mesyuarat itu, Hajiji menegaskan supaya penyelesaian tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah tidak terus dilengahkan, selain membangkitkan keperluan meningkatkan nisbah kerusi Parlimen bagi Sabah.

Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut mengalu-alukan persetujuan Perdana Menteri untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membuka ruang kepada penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, penambahan itu penting bagi memastikan Sabah dan Sarawak secara kolektif mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat, sekali gus memperkukuh kedudukan kedua-dua wilayah selaras dengan semangat pembentukan Malaysia.

Ketika ini, daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat, Sabah mempunyai 25 kerusi manakala Sarawak 31 kerusi.

Dalam pada itu, ADUN Kuamut itu menegaskan RM1.5 bilion yang diumumkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini adalah Geran Khas Interim dan bukannya penyelesaian terhadap tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah.

Justeru katanya, desakan Hajiji supaya perkara itu disegerakan menerusi rundingan dengan Kerajaan Persekutuan perlu dilihat sebagai usaha berterusan untuk mendapatkan penyelesaian terhadap hak Sabah.

Masiung berpandangan pendekatan diplomasi dan rundingan yang tegas lebih berkesan berbanding konfrontasi yang boleh menjejaskan hubungan antara Sabah dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, perjuangan mendapatkan hak 40 peratus hasil serta penambahan kerusi Parlimen harus melangkaui perbezaan politik kerana matlamat akhirnya adalah untuk kepentingan Sabah dan rakyatnya.

“Ini bukan soal kerajaan atau pembangkang. Ini soal hak Sabah yang perlu kita pertahankan bersama.

“Usaha Ketua Menteri dalam perkara ini sewajarnya mendapat sokongan seluruh rakyat Sabah supaya hak yang diperjuangkan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan,” katanya.-pr/BNN