Pada Hari Malaysia ini, kita bersama-sama sebagai satu bangsa memperingati detik penting dalam sejarah negara. 63 tahun yang lalu, pada 16 September 1963, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bergabung untuk membentuk Negara Malaysia, berlandaskan aspirasi bersama untuk mencapai keamanan, kemajuan dan kemakmuran.
Nilai perpaduan, persefahaman dan keyakinan bersama terhadap masa depan yang lebih baik telah membimbing kita sepanjang lebih enam dekad pembinaan negara dan harus terus menjadi pedoman kita pada tahun-tahun mendatang.
Tahun ini, Hari Malaysia disambut dalam suasana dunia yang terus berdepan ketidaktentuan.
Konflik dan ketegangan geopolitik, khususnya di Timur Tengah dan beberapa bahagian lain di dunia, gangguan terhadap perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan, tekanan kos sara hidup serta kesan perubahan iklim yang semakin ketara mengingatkan kita bahawa keamanan, kestabilan dan kemakmuran tidak boleh sesekali dipandang ringan.
Dalam menghadapi ketidaktentuan ini, Malaysia harus terus berdaya tahan, bersatu padu dan berpandangan jauh.
Kita mesti terus memperkukuh ekonomi, memelihara kestabilan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat kekal menjadi teras pembangunan.
Ketahanan ekonomi harus diterjemahkan kepada taraf kehidupan yang lebih baik, peluang pekerjaan yang bermakna, peningkatan pelaburan serta peluang yang dapat dinikmati secara adil di seluruh negara.
Kekuatan terbesar Malaysia terletak pada rakyatnya. Kita dikurniakan kepelbagaian kaum, budaya, agama dan tradisi yang begitu kaya. Kepelbagaian ini tidak harus dibiarkan menjadi punca perpecahan; sebaliknya, ia harus terus menjadi sumber kekuatan dan kebanggaan kita. Walaupun berbeza latar belakang, kita berkongsi sebuah negara, satu takdir dan satu masa depan.
Dalam hal ini, peranan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan serta pembangunan berterusan Malaysia amat penting.
Sabah dan Sarawak merupakan rakan yang tidak terpisah dalam Persekutuan dan telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada kestabilan politik, pembangunan ekonomi, kekayaan sumber alam dan warisan budaya negara.
Sumbangan dan aspirasi kedua-dua negeri harus terus diiktiraf dalam usaha kita bersama-sama membina masa depan negara.
Pada masa yang sama, masih banyak yang perlu dilakukan, khususnya di Sabah. Jurang pembangunan perlu terus ditangani dengan memberi perhatian yang lebih serius kepada infrastruktur asas, bekalan air dan elektrik yang boleh dipercayai, jalan raya dan jaringan perhubungan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan serta peluang ekonomi yang bermakna.
Pembangunan mesti sampai ke setiap daerah, pekan, kampung dan masyarakat luar bandar agar tiada sesiapa yang tercicir. Sabah yang lebih kuat dan makmur akhirnya akan menjadikan Malaysia lebih kuat dan makmur.
Pada Hari Malaysia ini, kita juga harus memperteguh kembali semangat dan prinsip yang mendasari Perjanjian Malaysia 1963. Perkara-perkara berkaitan hak dan kepentingan Sabah di bawah MA63, termasuk pemberian khas bersamaan 40 peratus daripada hasil bersih yang diperoleh Persekutuan dari Sabah, harus terus ditangani melalui rundingan yang ikhlas dan konstruktif serta berlandaskan semangat pembentukan Malaysia.
Dalam kita membicarakan soal hak dan pembangunan, kita tidak harus melupakan nilai-nilai yang sejak sekian lama menjadi keistimewaan Sabah.
Negeri kita merupakan tempat masyarakat daripada pelbagai etnik, budaya dan agama hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni sejak turun-temurun.
Tiada tempat bagi ekstremisme kaum atau agama di negara kita. Tradisi toleransi, saling menghormati dan menerima perbezaan yang menjadi identiti Sabah harus terus dipelihara dan diperkukuh demi generasi akan datang.
Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya mereka yang diberikan amanah kepimpinan dan mereka yang bercita-cita untuk memegang jawatan awam, agar sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan peribadi atau politik yang sempit.
Keuntungan politik tidak seharusnya dikejar dengan mengeksploitasi sentimen kaum atau agama.
Perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat, namun ia harus disuarakan secara bertanggungjawab, berhemah dan berasaskan fakta.
Kepimpinan akhirnya harus dinilai berdasarkan idea, penyelesaian dan dasar yang mampu meningkatkan kehidupan rakyat serta membawa negara kita ke hadapan.
Kita juga harus sentiasa peka terhadap cabaran perubahan iklim dan kejadian cuaca ekstrem yang semakin serius.
Banjir, tanah runtuh dan bencana alam lain, sama ada di negara kita mahupun di seluruh dunia, mengingatkan kita tentang pentingnya tahap kesiapsiagaan yang lebih tinggi, infrastruktur dan pembangunan yang lebih berdaya tahan serta tanggungjawab bersama yang lebih besar dalam memelihara alam sekitar.
Hari Malaysia bukan cuma sambutan ulang tahun. Ia merupakan peringatan tentang janji yang dimeterai 63 tahun yang lalu serta tanggungjawab yang kita pikul bersama pada hari ini ,untuk memelihara perpaduan, menghormati asas-asas pembentukan negara, mempertahankan keamanan dan kestabilan serta memastikan kemajuan dan kemakmuran dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Malaysia.
Dengan semangat saling menghormati, kepercayaan dan kesatuan matlamat, saya yakin kita mampu mengatasi segala cabaran yang mendatang dan terus membina sebuah Malaysia yang aman, progresif, makmur dan dihormati.
Selamat Hari Malaysia.





