KENINGAU: Jawatankuasa Pelaksana Majlis Reunion Kent 2026 kini memperkemas persiapan akhir bagi menyambut kehadiran alumni Maktab Perguruan Kent Tuaran dari seluruh Sabah pada 3 Oktober ini.
Majlis pertemuan alumni itu akan berlangsung di Bandukan Resort, Bingkor, dengan Daerah Keningau sebagai tuan rumah, manakala Tenom, Tambunan dan Nabawan turut menjadi penganjur bersama.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Reunion Kent 2026, Haji Yazid Haji Mohd. Hasnan Tawik @ Charles, berkata persiapan akhir diselaraskan menerusi mesyuarat terakhir jawatankuasa pelaksana yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Bandukan Resort, hari ini.
Katanya, semua jawatankuasa kecil kini memberikan tumpuan kepada persiapan terakhir termasuk pendaftaran peserta, sambutan tetamu, protokol, pengurusan tempat, jamuan, pengisian program dan aspek teknikal bagi memastikan majlis berjalan lancar.
“Reunion Kent 2026 bukan sekadar sebuah majlis pertemuan semula, tetapi medan untuk mengeratkan kembali tali persahabatan dan silaturahim dalam kalangan alumni yang pernah bersama-sama menimba ilmu serta membina asas dalam profesion perguruan.
“Selepas sekian lama membawa haluan dan tanggungjawab masing-masing, reunion ini menjadi kesempatan bermakna untuk kita bertemu semula, bertukar khabar, mengimbau kenangan serta menghargai jasa dan pengorbanan generasi pendidik terdahulu,” katanya.
Yazid berkata kerjasama empat daerah iaitu Keningau, Tenom, Tambunan dan Nabawan turut memperlihatkan semangat kekitaan dan kebersamaan yang menjadi kekuatan utama dalam menjayakan Reunion Kent 2026.
Beliau berkata komitmen semua pihak, termasuk ahli jawatankuasa, sukarelawan dan pihak yang memberikan sokongan, amat dihargai bagi memastikan segala persiapan berada pada tahap terbaik.
“Kami sebagai tuan rumah bersama akan berusaha memberikan sambutan sebaik mungkin kepada semua peserta.
“Kita mahu setiap tetamu yang hadir bukan sahaja menikmati program yang disediakan, tetapi turut membawa pulang kenangan manis tentang persahabatan dan suasana Keningau,” katanya.
Beliau berharap Reunion Kent 2026 menjadi pertemuan penuh bermakna yang dapat memperkukuh jaringan silaturahim dalam kalangan alumni Maktab Perguruan Kent Tuaran, selain menghidupkan kembali kenangan dan nilai persahabatan yang terjalin sejak di bangku perguruan.
“Dari Kent kita bermula, kenangan kita abadikan, persahabatan kita eratkan,” katanya.-pr/BNN





