KOTA KINABALU: Ketua Penerangan (Penaja) Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Kinabatangan, Aksyah Haji Nasrah, menyifatkan penyebaran risalah dan ‘Kad Laporan Palsu’ oleh segelintir jentera siber pembangkang sebagai usaha memberikan persepsi seolah-olah kerajaan negeri tidak menjalankan amanah pembangunan untuk rakyat.
Beliau berkata, jika mahu mengkritik sesebuah kerajaan, kritikan perlu berasaskan fakta dan angka kerana politik membabi buta tanpa berpandukan data hanya mendedahkan kedangkalan pemikiran di hadapan masyarakat Sabah yang semakin matang.
“Saya tertarik untuk meneliti risalah dan kad laporan rekaan yang disebarkan oleh segelintir jentera siber pembangkang baru-baru ini. Naratif yang cuba mereka bawa amat mudah dibaca; mereka mahu memberikan persepsi seolah-olah Kerajaan Negeri hari ini sedang tidur dan langsung tidak menjalankan amanah pembangunan untuk rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Aksyah berkata, ketika Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, memacu pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya Fasa 2 (SMJ 2.0), fokus beliau adalah kepada struktur, integriti angka dan hasil jangka panjang, bukannya jalan populis yang hanya sedap didengar tetapi akhirnya membiarkan kantung negeri kosong dan tenat.
Katanya, dalam aspek kebajikan rakyat, jumlah penerima bantuan kebajikan di bawah pentadbiran hari ini meningkat daripada 100,000 penerima pada 2025 kepada 140,000 penerima pada 2026, manakala Program Rumah Mesra SMJ pula sudah memberi perlindungan dan manfaat kepada 7,482 penerima serta diperluaskan bagi membantu pasangan muda yang baru membina kehidupan.
“Bagi sektor pendidikan, peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kini mencecah RM155 juta, satu angka tertinggi dalam sejarah pentadbiran Sabah. Ini ditunjangi pula oleh impak Tabung Pendidikan Negeri yang telah menyalurkan RM40 juta kepada 27,781 pelajar sejak tahun 2022,” katanya.
Mengenai isu utiliti dan infrastruktur kritikal seperti air, elektrik dan jalan raya, Aksyah berkata, krisis yang berlaku ketika ini perlu dilihat sebagai kesan rantaian daripada kecacatan dasar serta pengabaian era terdahulu, namun kerajaan hari ini tidak pernah berpeluk tubuh.
Dalam sektor air, beliau mendakwa ketika Datuk Seri Shafie Apdal menjadi Ketua Menteri dan Warisan menjadi kerajaan, beberapa konsesi air dihentikan atas alasan penjimatan RM1 bilion wang rakyat.
“Namun, tindakan kurang cerdik ini telah meninggalkan kesan yang amat mendalam. Pun begitu, apabila Hajiji menjadi Ketua Menteri, beliau mencuci pinggan kotor yang ditinggalkan oleh Warisan tanpa banyak berkata-kata. Buktinya, Hajiji di bawah teraju kerajaan GRS telah melaksanakan Projek Penstrukturan Semula Bekalan Air bernilai lebih RM1 bilion dan sehingga kini sedang rancak berjalan,” katanya.
Aksyah berkata, tanpa mengira siapa kontraktor pelaksana, atas kebijaksanaan Hajiji, isu Projek Hidro Ulu Padas yang sekian lama tergendala dapat dituntaskan.
“Menurut perkiraan, menjelang tahun 2030, apabila Projek Hidro Ulu Padas siap dan mula beroperasi sepenuhnya, ia berupaya menyokong pengeluaran sehingga 6,000 juta liter air sehari (MLD) yang mampu menampung keperluan rakyat Sabah sehingga 100 tahun akan datang,” katanya.
Dalam sektor tenaga pula, beliau berkata, di bawah kawal selia Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), jidar simpanan (reserve margin) elektrik meningkat daripada paras kritikal lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos 2026 dan berada di landasan untuk mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini.
Bagi infrastruktur jalan raya, Aksyah berkata, momentum Lebuhraya Pan Borneo Sabah pernah terjejas akibat tindakan kerajaan terdahulu membatalkan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) tanpa pelan gantian yang konkrit, namun usaha pembangunan tetap diteruskan.
“Sebanyak empat daripada 16 pakej di bawah Fasa 1A telah siap sepenuhnya, diiringi pembinaan jalan luar bandar sepanjang 126.466 kilometer bernilai RM687.7 juta. Hajiji sedang bekerja keras membaiki segala kerosakan infrastruktur yang mereka tinggalkan dahulu, tetapi anehnya, mereka pula yang menuding jari hari ini,” katanya.
Aksyah berkata, pembangunan negeri juga tidak akan kukuh tanpa persediaan modal insan yang mampan, justeru pelbagai program strategik untuk membugarkan potensi belia dilaksanakan di bawah kerajaan GRS.
Katanya, melalui platform seperti Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS), Destini SMJ, Dewan Belia Sabah dan Felo SMJ, golongan muda diberikan ruang untuk belajar memimpin serta terlibat secara langsung dalam merangka dasar pembangunan negeri, manakala Outreach Usahawan Muda dan program SYABAS terus digerakkan bagi memperkukuh peniaga tempatan berskala kecil dan sederhana.
Mengulas pembangunan negeri secara keseluruhan, Aksyah berkata, membangunkan semula sebuah negeri pasca-krisis yang pernah tenat hasil tinggalan Warisan tidak boleh diselesaikan sekelip mata seperti memetik jari.
“Proses pembangunan fizikal harus difahami sebagai sasaran kerja yang realistik, bukannya sebuah jaminan mutlak tanpa mengambil kira cabaran teknikal di lapangan.
“Ini tidak seperti Datuk Seri Shafie Apdal dalam satu ucapannya yang secara populis mendakwa kononnya mampu menyelesaikan masalah air dalam tempoh setahun, selain dakwaan retorik mampu melahirkan 40 ribu graduan kejuruteraan dalam tempoh setahun,” katanya.
Beliau berkata, Hajiji lebih tahu, bertanggungjawab dan akur bahawa pembangunan mapan memerlukan masa, ketekunan serta strategi yang betul, selain ketelitian dan iltizam politik yang jitu.
“Saya lihat, pihak pembangkang sebenarnya sudah habis modal. Mereka kini terlalu terdesak sehingga terpaksa menggunakan taktik ‘politik mata lalat’—hanya tahu mencari cacat cela kecil—dengan menerbitkan Kad Laporan Palsu hasil hasad dengki mereka terhadap kebolehan kemudi pentadbiran hari ini.
“Hajiji dan GRS slay!” katanya.-pr/BNN





