KENINGAU: Daerah Tuaran dipilih sebagai tuan rumah dan penganjur Reunion Kent 2027, meneruskan tradisi pertemuan warga dan alumni Maktab Perguruan Kent Tuaran yang kini berada di seluruh Sabah.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Reunion Kent 2026, Haji Yazid Haji Mohd Hasnan Tawik @ Charles, ketika berucap pada majlis Reunion Kent 2026 di Bandukan Resort, Bingkor, di sini.

Reunion Kent 2026 menghimpunkan 108 peserta terdiri daripada bekas pelatih Maktab Perguruan Kent Tuaran, ahli keluarga dan warga Kent, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap usaha mengeratkan kembali silaturahim serta mengimbau nostalgia zaman latihan perguruan.

Pengumuman Tuaran sebagai tuan rumah tahun depan disambut tepukan gemuruh peserta, manakala penyerahan banting Reunion Kent daripada Yazid kepada wakil warga guru dan alumni Tuaran, Haji Rahim Awang, menjadi simbol rasmi peralihan tanggungjawab penganjuran.

Rahim merakamkan penghargaan atas kepercayaan diberikan kepada warga Kent di Tuaran, sambil menyifatkan penganjuran itu sebagai amanah untuk meneruskan kesinambungan program yang bukan sahaja menemukan semula rakan lama, malah menghidupkan nostalgia zaman menuntut ilmu di Maktab Perguruan Kent.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur Reunion Kent 2026 yang berjaya menghimpunkan 108 peserta dalam suasana persahabatan dan kekeluargaan.

Sementara itu, Yazid berkata, penyertaan 108 warga Kent membuktikan semangat persahabatan yang terjalin sejak di Maktab Perguruan Kent masih kukuh walaupun masing-masing sudah melalui perjalanan hidup dan kerjaya berbeza.

Katanya, Reunion Kent menjadi ruang istimewa untuk bekas pelatih bertemu semula, bertanya khabar dan mengimbau kenangan lama.

“Kita mungkin sudah berusia, rambut mungkin sudah berubah warna, tetapi apabila bertemu sahabat lama, kenangan zaman di Kent seolah-olah kembali hidup,” katanya.

Beliau berkata, Reunion Kent bukan sekadar pertemuan tahunan, sebaliknya wadah yang menyatukan keluarga besar warga Kent dan memastikan hubungan persahabatan terus terpelihara.

Dengan penyerahan banting itu, amanah penganjuran Reunion Kent 2027 kini beralih kepada Tuaran, yang diharapkan dapat meneruskan tradisi pertemuan warga Kent dengan lebih meriah dan penuh nostalgia.-pr/BNN