KOTA KINABALU: Peruntukan Persekutuan sebanyak RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan 2027 membuka ruang untuk memperkukuh pembangunan negeri, termasuk sektor pertanian, keterjaminan makanan dan kesejahteraan golongan peladang.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata perhatian terhadap sektor pertanian menerusi pelbagai bantuan dan insentif perlu dimanfaatkan bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan beban kos pengeluaran serta memperbaiki pendapatan pengusaha pertanian.
Beliau berkata, peruntukan RM300 juta bagi pelaksanaan projek agromakanan melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri juga penting untuk merangsang pengeluaran makanan, memperluas peluang ekonomi komuniti serta meningkatkan keupayaan pengusaha tempatan.
“Bagi Sabah, pelaksanaan inisiatif ini perlu mengambil kira keperluan peladang di kawasan luar bandar dan pedalaman, khususnya dari segi kemudahan asas, akses kepada teknologi, pembiayaan serta pasaran bagi hasil pertanian,” katanya.
Mohd Nazri turut menyambut baik keputusan kerajaan menggandakan peruntukan membaik pulih jalan ladang kepada RM100 juta berbanding RM50 juta sebelum ini, yang berpotensi membantu memudahkan pengangkutan hasil pertanian dari kawasan pengeluaran ke pusat pengumpulan dan pasaran.
Menurutnya, kemudahan jalan ladang yang lebih baik dapat membantu melancarkan urusan pengeluaran dan pemasaran hasil, selain mengurangkan kekangan logistik yang dihadapi pengusaha pertanian, terutama di kawasan yang mempunyai jaringan jalan raya terhad.
Dalam aspek pengeluaran padi, beliau menyambut baik peluasan insentif pembajakan sebanyak RM300 sehektar kepada pesawah di Sabah dan Sarawak, selain bantuan keseluruhan RM2.62 bilion yang disediakan kerajaan untuk pesawah menerusi pelbagai subsidi dan insentif.
Katanya, sokongan berkenaan penting bagi membantu pesawah menghadapi kos pengeluaran, di samping memperkukuh usaha meningkatkan produktiviti dan pengeluaran padi tempatan bagi menyokong keterjaminan bekalan beras negara.
Beliau turut menggalakkan golongan peladang dan usahawan tani memanfaatkan kemudahan pembiayaan melebihi RM1 bilion melalui Agrobank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk mengembangkan operasi, meningkatkan penggunaan teknologi serta meneroka pengeluaran produk pertanian bernilai tinggi.
Mohd Nazri berkata, pelaksanaan semua inisiatif berkenaan perlu disokong penyelarasan berkesan antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, agensi pertanian dan pertubuhan peladang supaya bantuan serta kemudahan yang disediakan benar-benar sampai kepada golongan sasar.
Beliau berharap Belanjawan 2027 dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian Sabah yang lebih moden, produktif dan berdaya saing, sekali gus meningkatkan kesejahteraan peladang serta memperkukuh sumbangan negeri kepada keterjaminan makanan negara.
Mohd Nazri turut memuji komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dalam memberi perhatian kepada keperluan pembangunan Sabah menerusi Belanjawan 2027, termasuk penyediaan peruntukan bagi memperkukuh infrastruktur dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata, pendekatan yang memberi perhatian kepada pembangunan negeri serta kebajikan rakyat, termasuk golongan peladang dan pengusaha pertanian, mencerminkan kepentingan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.-pr/BNN




