KENINGAU: Kepuasan pengguna perlu menjadi ukuran utama mutu perkhidmatan Sabah Electricity (SE), khususnya dalam menangani aduan dan menyelesaikan masalah bekalan elektrik dengan cekap.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB), Hj. Yazid Hj. Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata pelaksanaan Kajian Kepuasan Pelanggan oleh SE di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan penting untuk mengenal pasti kelemahan perkhidmatan serta memahami keperluan sebenar pengguna.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan pasukan perunding kajian yang diketuai Dr. Beatrice Lim, bersama Marry T. Pawan dan Kamarul Mizal, masing-masing pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan perunding kajian. Dalam pertemuan itu, beliau turut berkongsi pandangan, cadangan serta pengalaman berkaitan perkhidmatan bekalan elektrik dan urusan pelanggan.
Menurutnya, kajian itu mencerminkan kesediaan SE mendengar suara pengguna, namun dapatan yang diperoleh perlu diberikan perhatian serius dan diterjemahkan kepada tindakan penambahbaikan yang jelas serta boleh dinilai keberkesanannya.
“Kajian kepuasan pelanggan tidak seharusnya sekadar memenuhi keperluan pengumpulan data atau menghasilkan laporan di atas kertas, sebaliknya mesti membawa perubahan yang dapat dirasai pengguna,” katanya.
Beliau berkata, hasil kajian wajar dijadikan asas untuk menambah baik pengendalian aduan, mempercepat tempoh maklum balas, memperjelas penyampaian maklumat serta meningkatkan kecekapan urusan permohonan dan penyambungan bekalan elektrik.
Yazid turut berharap kajian itu dapat mengenal pasti jurang perkhidmatan antara kawasan bandar dengan luar bandar, khususnya di pedalaman yang berdepan cabaran akses dan komunikasi. Pengguna juga perlu dimaklumkan mengenai tindakan susulan supaya mereka mengetahui bahawa pandangan serta aduan yang dikemukakan diberikan perhatian.
“Pelanggan bukan sekadar pembayar bil, tetapi pihak berkepentingan yang berhak mendapat perkhidmatan berkualiti, layanan baik dan penyelesaian munasabah. Mereka mengharapkan jawapan jelas, tindakan pantas serta penyelesaian berkesan apabila berhadapan masalah,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan mengutamakan suara rakyat itu selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan semangat ‘Sabah First’, yang perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata dengan meletakkan kepentingan pengguna sebagai asas perancangan serta penilaian prestasi perkhidmatan.
Sehubungan itu, Yazid berharap SE memanfaatkan dapatan kajian berkenaan untuk memperkukuh akauntabiliti, meningkatkan keyakinan masyarakat dan membina hubungan lebih baik dengan pengguna.
“Ukuran kejayaan kajian ini bukan sekadar jumlah responden atau laporan yang dihasilkan, tetapi sejauh mana dapatan itu membawa perubahan positif kepada pelanggan. Dengar suara pelanggan, fahami masalah mereka dan buktikan melalui tindakan,” katanya.-pr/BNN





