KOTA KINABALU: Penggiat seni dan kreatif Sabah diseru berganding bahu dengan kerajaan negeri bagi membangunkan ekosistem ekonomi kreatif yang berdaya saing, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan, khususnya kepada golongan belia.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam DSP Haji Abu Bakar Titingan, berkata industri budaya dan kreatif berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi baharu menerusi penghasilan karya, kandungan kreatif, inovasi digital, seni persembahan, perfileman, muzik dan pembangunan harta intelek.
Beliau berkata, industri budaya dan kreatif Malaysia menyumbang RM130.7 bilion kepada ekonomi negara pada 2024, bersamaan 6.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala eksport produk kreatif mencecah RM63 bilion, meningkat 12.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Angka ini membuktikan ekonomi kreatif bukan sekadar berkaitan seni dan hiburan, tetapi mempunyai nilai ekonomi yang besar dalam menjana pendapatan, mewujudkan pekerjaan serta membuka peluang pasaran di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat delegasi Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH), diketuai pengerusinya, Chester Pang, di pejabatnya di Wisma MUIS, di sini, semalam.
Dalam pertemuan itu, KREATIF SABAH membentangkan cadangan penubuhan Hab Kreatif Tawau (Tawau C-Hub) sebagai ruang pembangunan bakat, latihan, penghasilan karya, kolaborasi dan pemasaran produk kreatif, selain penganjuran Townhall Penggiat Seni dan Kreatif Sabah bagi membincangkan cabaran serta peluang pembangunan industri berkenaan.
Delegasi itu turut mengemukakan Memorandum Cadangan Tujuh Perkara Kreatif Sabah yang diluluskan pada Mesyuarat Agung Pertama KREATIF SABAH, Julai lalu.
Antara cadangannya ialah memperkukuh penyelarasan pentadbiran ekonomi kreatif, mewujudkan hab kreatif atau pusat sehenti, mengutamakan penglibatan penggiat tempatan dalam program rasmi kerajaan negeri serta melibatkan mereka dalam penggubalan dasar berkaitan.
Nizam berkata, pandangan dan cadangan berkenaan boleh diteliti dalam perancangan pembangunan ekonomi kreatif negeri, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira fungsi agensi berkaitan, keutamaan program, kemampuan kewangan dan proses kelulusan.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama kerajaan, persatuan, penggiat industri dan pihak swasta bagi memastikan pembangunan sektor itu dilaksanakan secara tersusun.
Beliau berkata, bakat anak muda Sabah dalam bidang seni, sukan dan kandungan digital juga perlu dibangunkan melalui sokongan serta ekosistem yang sesuai, sambil mencontohkan kejayaan atlet Muay Thai, Emmabell Cassandra, yang menjuarai kategori wanita pada pertandingan Byon Combat Showbiz 7 sebagai bukti potensi belia negeri untuk berkembang dan menjana peluang ekonomi baharu.-prBNN





