KUCHING: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) mengadakan pertemuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi memperkukuh hubungan serta meneroka peluang kerjasama strategik demi kepentingan anak muda Sabah dan Sarawak.
Pertemuan itu diketuai Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim, manakala delegasi Pemuda PBB diketuai Ketua Pemudanya, Datuk Martin Ben, yang juga Ketua Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Azrul yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah berkata, pertemuan itu berlangsung dalam suasana mesra dan penuh semangat kekeluargaan, sekali gus menyediakan ruang untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan, berkongsi pengalaman serta mempelajari pendekatan masing-masing dalam memperjuangkan kepentingan golongan muda.
Menurutnya, hubungan erat antara gerakan pemuda Sabah dan Sarawak penting dalam membina persefahaman serta membuka lebih banyak ruang kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada generasi muda di kedua-dua negeri.
Pertemuan itu turut dihadiri ketua-ketua pemuda parti komponen GPS, iaitu Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), bersama barisan pimpinan Pemuda Gagasan Rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Azrul turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman, bagi bertukar pandangan mengenai perkara berkaitan tugas dan peranan masing-masing.
Pertemuan itu turut disertai Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Mohammad Ghazali Hajiji, serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Afiq Fikri Brahim.
Azrul yakin hubungan baik yang terjalin menerusi pertemuan berkenaan dapat memperkukuh persefahaman serta membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara pimpinan dan gerakan pemuda Sabah dan Sarawak pada masa hadapan.-pr/BNN





