ΚΟΤΑ ΚΙΝΑBALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan kehadiran 50,000 pengunjung ke Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) Edisi Sabah 2026 yang akan berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu.
Bertemakan “Bikin Lokal Jadi Hebat, Usahawan Onsoi”, karnival ini menjadi platform untuk memperkukuh budaya keusahawanan, mengetengahkan produk tempatan serta memperluas akses rakyat dan usahawan Sabah kepada perkhidmatan KUSKOP.
Antara tarikan utama ialah Jualan MADANI KUSKOP (JMK) yang menawarkan diskaun 20 peratus bagi pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, tepung, ayam, daging, telur, minyak masak dan bahan pencuci.
Pengunjung turut berpeluang menikmati promosi happy hour dengan harga sehingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.
Seramai 150 usahawan tempatan turut menyertai karnival ini bagi mempamerkan produk dan perkhidmatan masing-masing, termasuk pelbagai produk makanan industri kecil menerusi segmen Jualan Aneka Rasa Bawah Bayu.
Bagi memudahkan akses kepada bantuan keusahawanan, KUSKOP bersama-sama lapan agensi di bawahnya menyediakan perkhidmatan konsultasi berteraskan lima kluster yang merangkumi maklumat pembiayaan, geran, latihan dan pembangunan kapasiti.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperluas capaian perkhidmatan kerajaan kepada usahawan.
Pelbagai pengisian menarik turut disediakan, antaranya Program Halal Sukses KUSKOP, perkongsian ilmu perniagaan, Malam Gema Rohani Sabah, Konsert Gegar Usahawan bersama artis terkenal seperti XPDC, Datuk Francis Landong, Velvet Aduk dan Felix Agus.
Aktiviti lain antaranya ialah demonstrasi kraf, Borneo Beat, segmen Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ukk@kuskop.gov.my,TikTok Shop, Zumba, Pocket Talk, Meet & Greet Unduk Ngadau Bersama Usahawan dan cabutan bertuah.
Selain itu, Sesi Padanan Perniagaan anjuran SME Corp.
Malaysia turut menghimpunkan usahawan bersama bakal pembeli, pelabur, pemborong dan syarikat peneraju. Setakat ini, empat syarikat peneraju telah mengesahkan penyertaan bagi membantu usahawan meningkatkan capaian pasaran.
Sabah merupakan lokasi keempat penganjuran KHPM selepas Johor, Melaka dan Pulau Pinang.
Inisiatif yang dicetuskan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Encik Steven Sim Chee Keong, ini bertujuan memperkukuh budaya keusahawanan, memperluas akses pasaran dan membuka peluang jaringan perniagaan kepada usahawan tempatan.
KHPM Edisi Sabah dianjurkan melalui kerjasama strategik antara KUSKOP dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) yang diterajui oleh YB Datuk Ewon Benedick merangkap Timbalan Ketua Menteri III Sabah.
Penganjuran ini turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan TikTok Shop.
Penganjuran karnival ini juga dijangka merancakkan ekonomi setempat, khususnya sektor perhotelan, makanan dan minuman serta pengangkutan, melalui peningkatan kehadiran pengunjung dan aktiviti perniagaan.
Sehubungan itu, KUSKOP mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Sabah, khususnya warga Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya, untuk bersama-sama meriahkan karnival ini serta memanfaatkan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti yang disediakan.-pr/BNN





