KOTA KINABALU: Isu gangguan bekalan air di Tawau dibangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet Sabah bagi memastikan tindakan segera diambil, termasuk mempergiat penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, berkata langkah itu dilaksanakan bagi membantu memenuhi keperluan harian penduduk sepanjang tempoh gangguan bekalan air berkenaan.
Beliau berkata, isu itu dibangkitkannya dalam mesyuarat berkenaan pada 21 Oktober lalu susulan keadaan kering dan kekurangan hujan berpanjangan yang menjejaskan bekalan air mentah untuk dirawat dan disalurkan kepada pengguna.
Susulan perbincangan itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengarahkan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah supaya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Tawau mengambil tindakan lebih proaktif dalam menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas.
Nizam berkata, Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, turut memberi jaminan akan memastikan Pengarah JANS memantau perkara itu serta menggerakkan segala keupayaan yang tersedia bagi menyalurkan bekalan air kepada penduduk terjejas.
Menurutnya, berdasarkan makluman terkini Jabatan Air Bahagian Tawau, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Utara masih terjejas berikutan masalah kualiti air mentah Sungai Tawau.
“Walaupun hujan telah turun, taburan hujan di kawasan tadahan masih belum mencukupi untuk meningkatkan paras sungai dengan ketara.
“Pemantauan dan proses rawatan air diteruskan bagi memastikan air yang dibekalkan memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, penghantaran bantuan air menggunakan lori tangki juga diteruskan mengikut kemampuan operasi semasa, dengan penyelarasan penghantaran terus diberi perhatian bagi membantu mengurangkan kesulitan penduduk di kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan.
Nizam, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, berkata beliau akan terus berhubung dengan kementerian berkaitan dan JANS bagi menyampaikan keperluan penduduk serta mendapatkan perkembangan terkini berhubung penghantaran bantuan air dan keadaan bekalan semasa.-pr/BNN





