KOTA KINABALU: Republik Slovakia menyatakan minat untuk melabur dalam pelbagai sektor di Sabah, termasuk pengurusan pemantauan jalan raya.
Duta Besar Republik Slovakia ke Malaysia, Peter Spišiak, menyatakan perkara itu ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di Menara Kinabalu dekat sini hari ini.
Spišiak turut berkata, Slovakia mempunyai kepakaran dalam bidang pemantauan air dan sektor pertahanan serta berharap dapat meneroka peluang kerjasama dalam bidang berkenaan dengan Sabah.
Sebagai respons, Ketua Menteri mengalu-alukan minat yang ditunjukkan oleh Slovakia untuk menjalin kerjasama perniagaan dengan Sabah.
Turut mengiringi Spišiak ialah Pegawai Diplomatik Hal Ehwal Perdagangan dan Ekonomi Kedutaan Slovakia, Natália Furdová, dan Konsul Kehormat Republik Slovakia di Kota Kinabalu, Datuk Seri Panglima Wong Khen Thau.
Hadir sama ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.-pr/BNN





