PULAU PINANG: Tourism Malaysia Sabah terus mempergiat usaha mempromosikan destinasi pelancongan domestik di Pulau Pinang dan Perak bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Sabah meneroka keunikan kedua-dua negeri berkenaan.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Khairul Amir Anuar berkata, inisiatif itu turut bertujuan mewujudkan permintaan terhadap potensi perkhidmatan penerbangan terus antara Sabah dengan destinasi berkenaan.

Usaha promosi itu dilaksanakan menerusi program lawatan suai kenal (Familiarisation Trip) selama enam hari, Mansau-Ansau VM2026, yang berlangsung dari 29 Oktober hingga 3 November lalu.

Program diketuai Pegawai Pelancongan, Fariza Zakaria itu disertai wakil media tempatan serta pempengaruh media sosial dari Sabah.

Istilah ‘Mansau-Ansau’ yang membawa maksud berjalan-jalan dalam bahasa Kadazan-Dusun dipilih bagi mempromosikan kawasan utara Semenanjung Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan domestik pilihan menjelang kempen Visit Malaysia 2026-2027.

Memasuki edisi ketiga, program berkenaan selaras dengan Pelan Strategik Tourism Malaysia 2022-2026 yang memberi penekanan kepada usaha memperkukuh sektor pelancongan domestik menerusi penglibatan strategik media arus perdana, pengamal media baharu, blogger dan pemimpin pendapat utama (KOL).

Sepanjang program itu, peserta berpeluang meneroka pelbagai lokasi tarikan pelancongan di Pulau Pinang termasuk George Town Heritage Walk dan seni jalanan, Chew Jetty, Penang Peranakan Mansion, The TOP Komtar, Entopia by Penang Butterfly Farm, The Habitat Penang Hill serta Gurney Plaza.

Di Perak pula, peserta dibawa mengunjungi beberapa lokasi menarik termasuk Kellie’s Castle, Galeri Rumah Lat, Concubine Lane, Menara Jam Memorial Birch, ladang agro limau bali Tambun dan Tasik Cermin, Ipoh.

Selain keunikan destinasi pelancongan, program itu turut mengetengahkan kepelbagaian warisan kulinari tempatan sebagai antara tarikan utama kedua-dua negeri.

Antara makanan yang diperkenalkan di Pulau Pinang ialah asam laksa, char kuey teow, nasi kandar, pasembur dan cendol, manakala Perak pula terkenal dengan nasi ganja Ipoh, ayam tauge, rendang tok, tau fu fah serta kopi putih Ipoh.

Sementara itu, Malaysia merekodkan sebanyak 151.6 juta perjalanan pelawat domestik pada separuh pertama 2026, meningkat 5.6 peratus berbanding 143.5 juta perjalanan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Tourism Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dan rakan strategik bagi mempelbagaikan pendekatan promosi, memperluas capaian pasaran serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan secara mampan.

Inisiatif berkenaan diharap dapat meningkatkan aliran pelancong domestik dari Sabah ke Semenanjung Malaysia, sekali gus menyokong usaha menjayakan kempen Visit Malaysia 2026-2027.-BNN