KENINGAU: Pelantikan anak jati Kampung Ranggom, Keningau, Datuk Victor Sanjos sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu menjadi kebanggaan besar keluarga ‘Aki Elong’, khususnya sanak saudara yang mengikuti perjalanan kerjaya beliau dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Keningau, Sub Insp. (B) Francis Anggi Kathil, mewakili persatuan itu merakamkan ucapan tahniah dan syabas atas pelantikan berkenaan yang disifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap pengalaman serta khidmat bakti beliau kepada pasukan polis.
Victor memulakan kerjaya dalam PDRM sebagai Kadet Penolong Penguasa Polis (ASP) sebelum menggalas beberapa tanggungjawab penting dalam pasukan berkenaan.
Antara jawatan yang pernah disandang beliau termasuk Timbalan Ketua Polis Kelantan, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Siber Bukit Aman.
Francis yang juga bapa saudara kepada Victor serta rakan seperjuangan ketika berkhidmat dalam PDRM menyifatkan beliau sebagai seorang yang mesra, tidak sombong, namun tegas dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.
Menurutnya, pelantikan itu bukan sahaja membanggakan keluarga besar ‘Aki Elong’, malah turut menjadi kebanggaan warga bekas anggota polis yang pernah bersama-sama berkhidmat dalam pasukan berkenaan.
Beliau berkata, kejayaan Victor mencapai kedudukan itu membawa makna tersendiri kepada keluarga yang sentiasa mengikuti perjalanan hidup dan kerjaya beliau sejak awal.
Sehubungan itu, Francis bersama seluruh keluarga mendoakan agar Victor terus diberikan kekuatan dan kebijaksanaan dalam menggalas amanah baharu demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di Sabah.
Dari Kampung Ranggom, Keningau, kejayaan Victor menjadi kebanggaan keluarga besar ‘Aki Elong’ serta inspirasi bahawa asal-usul bukan penghalang untuk seseorang mencapai kejayaan.-pr/BNN





