KOTA KINABALU: Usaha menyelamatkan generasi muda Sabah daripada ancaman dadah memerlukan kerjasama lebih erat antara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Skuad Antidadah dan pengamal media bagi memastikan mesej pencegahan sampai kepada masyarakat secara lebih meluas dan berkesan.
Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Haji Manan, berkata media bukan sekadar berperanan membuat liputan, sebaliknya menjadi rakan strategik dalam membina kesedaran masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.
Beliau berkata, gabungan kepakaran AADK, kekuatan sukarelawan Skuad Antidadah dan keupayaan media menyampaikan maklumat mampu memperluas jangkauan mesej pencegahan dadah.
“Kita tidak mahu masyarakat hanya mengenali dadah apabila berlaku tangkapan, jenayah atau tragedi. Sebaliknya, kita mahu masyarakat memahami bahayanya lebih awal melalui pendidikan, kesedaran dan pencegahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis High Tea Skuad Antidadah Sabah dan AADK bersama rakan-rakan media, di sebuah hotel di sini.
Mazlan berkata, Skuad Antidadah Sabah perlu berfungsi sebagai gerakan masyarakat yang aktif turun padang, bukannya sekadar organisasi yang mengejar jawatan, berbangga dengan pakaian seragam atau menghadiri program.
Katanya, ahli skuad perlu mendekati masyarakat di kampung, sekolah, institusi pengajian tinggi, kawasan pedalaman dan komuniti anak muda melalui pelbagai pendekatan termasuk sukan, permotoran, kebudayaan, pendidikan serta keusahawanan.
“Kita perlu mendekati dunia anak muda, memahami minat mereka dan membimbing potensi mereka jika mahu menyelamatkan mereka daripada terjebak dengan dadah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memerangi dadah tidak bermakna masyarakat perlu memusuhi individu yang terjebak dalam penagihan kerana mereka masih mempunyai peluang untuk berubah dan membina kehidupan lebih baik.
Sehubungan itu, katanya, usaha pencegahan perlu disertai sokongan terhadap rawatan, pemulihan dan integrasi semula bekas penagih ke dalam masyarakat, selain memberi peluang kedua kepada mereka untuk memperbaiki kehidupan.
Beliau turut berharap media dapat mengetengahkan lebih banyak kisah kejayaan individu yang pulih daripada penagihan bagi memberikan harapan dan inspirasi kepada masyarakat.
Mazlan berkata, kerjasama antara Skuad Antidadah Sabah, AADK dan media juga perlu diperkukuh melalui perkongsian maklumat tepat, idea, pandangan serta teguran membina bagi menambah baik usaha pencegahan dadah di negeri ini.
“Kita mungkin tidak mampu menghapuskan ancaman dadah dalam satu hari. Tetapi jika usaha kita hari ini berjaya menyelamatkan walaupun seorang anak muda daripada terjebak dengan dadah, itu sudah merupakan satu kejayaan yang cukup besar,” katanya.
Beliau berkata, perjuangan membanteras dadah bukan tanggungjawab mana-mana agensi atau organisasi semata-mata, sebaliknya amanah bersama demi melindungi keluarga dan masa depan generasi Sabah.
“Kita mungkin datang daripada organisasi berbeza, mempunyai tugas dan peranan masing-masing, tetapi matlamat kita tetap sama, iaitu menyelamatkan generasi Sabah daripada ancaman dadah,” katanya.
Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh; Timbalan Ketua Pengarah AADK, Tuan Zainudin Abdullah; Pengarah AADK Sabah, Puan Elmariah Chung serta pengerusi-pengerusi daerah Skuad Antidadah Sabah.-pr/BNN





